Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 31, 2017

'SEDIA KERJASAMA' DENGAN FAM


Khairy Jamaluddin


Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) kekal diuruskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), setidak-tidaknya buat masa ini, kerana belum ada tanda perubahan statusnya kepada program yang dilancarkan pada 2014.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sekali lagi diajukan soalan sama mengenai status program itu, kekal dengan jawapannya: "Kita akan beri kerjasama yang terbaik kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia)."

Menurut Khairy beliau yakin kerjasama yang dijalin antara FAM di bawah pimpinan baharu dan NFDP, mampu membuahkan hasil yang positif kepada pembangunan bola sepak negara.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran penjualan nombor pendaftaran kenderaan 'RIMAU' sempena Sukan Sea dan Sukan Para Asean di kementeriannya, di sini semalam.

Status NFDP mula dibangkitkan apabila Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan semua program bola sepak peringkat akar umbi termasuk NFDP sepatutnya diuruskan anggota gabungan dan bukannya KBS.

Malah, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab badan induk bola sepak negara untuk mengurus dan menyelia apa jua program membabitkan bola sepak di negara ini tanpa campur tangan organisasi lain.

Isnin lepas, ketika diajukan soalan mengenai pandangan Tunku Ismail untuk meletakkan NFDP di bawah kendalian FAM, Khairy berkata KBS sedia terus bekerjasama dengan FAM bagi pembangunan bola sepak negara.

Sebagai rekod, NFDP yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 April 2014, merupakan program pembangunan bola sepak remaja yang berusia antara tujuh dan 17 tahun yang mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

Justeru, NFDP menjadi dasar kepada kerajaan yang mana ia akan berterusan walaupun berlaku perubahan struktur kepimpinan dalam KBS.

Sementara itu, mengulas mengenai empat bekas pemain kebangsaan yang menyatakan hasrat untuk kembali menyarung jersi kebangsaan, Khairy berkata apa pun keputusan FAM, beliau berharap ianya adalah yang terbaik untuk bola sepak negara.

Empat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) - Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal - dikatakan sedia kembali menyarung jersi Harimau Malaysia selepas mengumumkan persaraan pada Julai 2016.

Pengendali baharu skuad Harimau Malaysia, Mario Gomez juga menyatakan akan emanggil kembali empat pemain itu yang disifatkan sebagai pemain berharga buat skuad kebangsaan.


0 comments:

share2