Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 3, 2017

[RAUB] KEMENTERIAN PENDIDIKAN PERLU TURUN PANTAU SEKOLAH


Kementerian Pendidikan perlu turun pantau sekolah


Prasarana sekolah di luar bandar dan pedalaman di negeri dan daerah ini perlu diberi tumpuan utama oleh Kementerian Pendidikan bagi merapatkan jurang perbezaan dalam bidang pendidikan dengan sekolah di bandar.

Adun Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin berkata, pihaknya menggesa agar pihak Kementerian Pendidikan supaya turun padang bagi melihat permasalahan yang dihadapi oleh sekolah terutamanya bagi sekolah luar bandar.

Menurutnya, sekolah di luar bandar harus dibekalkan dengan prasarana yang sama lengkap dan canggih seperti sekolah lain di bandar.

“Saya telah pergi ke sekolah-sekolah di daerah Raub ini, masih terdapat banyak lagi sekolah yang peralatan seperti peralatan makmal sekolahnya tidak cukup dan kondisi sekolah berada dalam keadaan yang kurang memberangsangkan.

“Saya merayu kepada pihak kementerian dan peringkat daerah negeri buatlah lawatan yang pantas untuk mengemas kini atau menaiktarafkan segala kelemahan yang sedia ada termasuklah bangunan-bangunan sekolah..saya dengar banyak bangunan yang bocor, dan peralatan tak cukup khusus pelajar luar bandar yang perlu diberi perhatian,”katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat PIBG di Sekolah Kebangsaan (SK) Sega, di sini.

Shahiruddin yang juga merupakan Exco Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri berkata perkara ini perlu diambil tindakan oleh pihak kementerian pendidikan bagi memberi semangat kepada pelajar-pelajar di luar bandar untuk terus belajar dan mereka tidak terasa tersisir apabila bersekolah di luar bandar.

Menurutnya, kerajaan negeri memberikan sepenuh komitmen dan kerjasama kepada Kementerian Pendidikan dalam menjayakan agenda pembangunan pendidikan negara.

"Kerajaan akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan dan menambah baik sektor pendidikan negara dengan merancang serta melaksanakan dasar mentransformasikan sistem pendidikan negara agar terus relevan dengan keperluan negara dan cabaran global," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai peruntukan yang diberi oleh Timbalan Perdana Menteri sebanyak 8 juta untuk daerah Raub semasa lawatan kerja beliau ke Puspen Sungai Ruan baru-baru ini, beliau berkata pihaknya akan menggunakan untuk menaiktarafkan prasarana di daerah Raub.


0 comments:

share2