Penggunaan tenaga elektrik di Malaysia meningkat secara purata dalam lingkungan 10 peratus pada kitaran setiap 10 tahun.
Menurut kajian oleh International Energy Agency (IEA) pada 2011, permintaan tenaga meningkat secara agresif di seluruh dunia. Peningkatan ini disandarkan kepada pembangunan ekonomi pesat dan secara tidak langsung memberikan petunjuk positif terhadap kemajuan negara serta kemakmuran hidup rakyat.
Salah satu strategi dijalankan kementerian dan agensi berkaitan tenaga di Malaysia adalah melancarkan langkah mempromosi kecekapan penggunaan kalangan pengguna, sama ada di sektor industri, perniagaan komersil atau pengguna domestik.
Walaupun Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah mewujudkan pelbagai polisi dan pelan tindakan strategik bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, masih terdapat beberapa cabaran perlu diatasi.
Cabaran timbul ialah pelaksanaan secara menyeluruh terhadap kesemua pengguna tenaga, terutamanya pengguna domestik (estik) yang merupakan 20 peratus daripada pecahan keseluruhan penggunaan tenaga di Malaysia.
Dianggarkan pecahan penggunaan tenaga di rumah kediaman adalah hampir 45 peratus untuk kegunaan pendingin hawa, hampir 20 peratus untuk keperluan asas seperti pencahayaan, memasak, dan lain-lain, selebihnya untuk kegunaan pemanasan atau penyejukan.
Selari dalam menjayakan aspirasi pencapaian kecekapan tenaga ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta peranti mudah alih yang mampu menghasilkan kecekapan penggunaan tenaga secara mikro.
Peranti dinamai Pengawal Mikro Tenaga Automatik (PMTA) dicipta dengan menggabungkan kepakaran dalam operasi sistem kuasa, pengaturcaraan dan aplikasi sistem berasaskan penderia dan capaian internet atau Internet of Things (IoT).
Penyelidik USM, Mohamad Nazir Abdullah berkata, pengawalan penggunaan tenaga elektrik dibuat melalui pengaturcaraan pada mikrocip pengawal yang mengawal litar PMTA dipasang pada litar masuk utama ruang atau bilik yang ingin dikawal penggunaan elektriknya.
"Binaan PMTA adalah ringkas, mudah dipasang dan diselenggarakan oleh pengguna. Litar PMTA menerima masukan dari dua jenis penderia yang akan membuat imbasan isyarat inframerah dan tahap gas karbon dioksida di ruang udara.
"Masukan dari kedua-dua penderia ini akan melalui algoritma pengoptimuman yang telah diatur cara ke dalam pengawal mikrocip dan litar PMTA akan menentukan sama ada tenaga elektrik perlu dibekalkan atau tidak ke ruang atau bilik yang tersebut," katanya.
Menurutnya, secara langsung, peranti ini membenarkan bekalan elektrik secara automatik, hanya apabila terdapatnya manusia yang dikesan berada di ruang yang dilengkapi PMTA ini.
Pengumpulan data
Penyelidik Unimap yang turut serta dalam penyelidikan ini, Dr Muhammad Mokhzaini Azizan pula berkata, walaupun secara ringkasnya peranti PMTA ini boleh dilihat sebagai pemutus bekalan elektrik automatik sahaja, namun dengan kelebihan pengumpulan data dari penderia digunakan oleh mikrocip, membolehkan proses data analisis dilakukan pada masa hadapan.
"Kelebihan ini akan menjadikan peranti PMTA ini lebih ‘bijak’ dan mampu memberikan penjimatan optimum berdasarkan penggunaan elektrik dalam masa sebenar (real-time).
"Sebuah aplikasi sedang dibangunkan bagi membenarkan pengguna mendapatkan data penggunaan elektrik secara langsung dari sesebuah peranti PMTA, dan juga untuk mengawalnya secara langsung.
"Pemantauan peranti dan perkongsian data dari peranti dapat dilakukan dengan mudah menggunakan telefon mudah alih, dan secara tidak langsung membantu pengguna menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dalam jangka masa panjang," katanya.
Peranti PMTA yang hanya menelan kos RM250 seunit ini sedang menjalani fasa percubaan, dan kini sudah dipasang di premis guna sama seperti pondok rehat pelajar di Unimap dan USM.
Ujian percubaan dan pemasangan permulaan ini telah menunjukkan keputusan yang memberangsangkan di mana kecekapan penggunaan tenaga telah diterjemahkan kepada penjimatan penggunaan tenaga yang tinggi, iaitu sekitar 20 peratus penurunan, berbanding penggunaan sebelum adanya PMTA.
Usaha sedang dijalankan bagi memasarkan PMTA secara meluas melalui permohonan dana komersil penyelidikan dari agensi berkaitan.
0 comments:
Post a Comment