Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menegaskan persekitaran Tasik Chini, Pekan kini dalam keadaan baik dan terkawal bukan ‘tasik mati’ yang tercemar seperti dakwaan sesetengah pihak.
Perkara itu disahkan Jawatankuasa Teknikal Penguatkuasaan, Pemuliharaan dan Pemeliharaan Tasik Chini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang bermesyuarat bersama beberapa agensi berkaitan selain mengadakan lawatan kerja ke Tasik Chini pada 4 Mac lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hasil mesyuarat dan lawatan kerja itu mendapati kualiti air Tasik Chini bertambah baik pada tahun 2016 berbanding 2015.
Menurutnya, perkembangan positif itu hasil pemantauan rapi secara berkala dilaksanakan kementerian melalui kerjasama semua pihak berkaitan.
Katanya, laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan Pusat Penyelidikan Tasik Chini Universiti Kebangsaan Malaysia (PPTC UKM) menunjukkan bacaan bagi empat parameter utama berada pada Kelas 1 manakala bacaan logam berat menunjukkan kehadiran ferum secara konsisten di Tasik Chini disebabkan proses mineralisasi.
Katanya, kandungan logam berat lain juga pada tahap paling rendah dan tidak mencemarkan air serta tidak menjejaskan hidupan serta tumbuhan akuatik.
“Dakwaan kononnya tumbuhan teratai yang menjadi tarikan utama Tasik Chini serta ikon menggalakkan ekopelancongan di tasik ini terjejas akibat pencemaran air tasik tidak benar.
“Sebenarnya tumbuhan teratai ini mempunyai kitaran hidup yang dipengaruhi cuaca dan keadaan semula jadi tasik, justeru tumbuhan ini tidak boleh dinikmati sepanjang tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, paras air tasik yang meningkat apabila hujan lebat berpanjangan pada musim tengkujuh menyebabkan tumbuhan teratai mati.
“Bagaimanapun Institut Penyelidikan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Frim) menerusi penyelidikan pembungaan dan kemandirian tumbuhan teratai berjaya memastikan tumbuhan itu dapat ditanam semula selepas paras air tasik normal pada ketinggian kira-kira satu meter,” katanya.
Wan Junaidi berkata, bagi tujuan rehabilitasi dan pemuliharaan Tasik Chini, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi.
Katanya, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim), dengan kerjasama JPS serta Frim misalnya telah melaksanakan kajian mengenai spesies tumbuh-tumbuhan yang dapat membantu mengurangkan bacaan Biochemical Oxygen Demand (BOD) dan meningkatkan oksigen terlarut di dalam tasik.
“Semakin rendah bacaan BOD, semakin baik kualiti air dan keadaan ini dapat menampung kehidupan akuatik tasik dengan lebih baik. Antara spesies dikenal pasti seperti duckweed dan typha yang mampu membantu mengurangkan bacaan BOD.
“Bagi memenuhi objektif penyenaraian Tasik Chini sebagai tapak Rizab Biosfera di bawah program Man and Biosphere (MAB), JPSM sedang dalam perancangan untuk melaksanakan Program Perhutanan Sosial,” katanya.
Beliau berkata, program disifatkan sebagai serampang dua mata itu dilihat mampu menangani isu pencerobohan hutan, memulihkan hutan serta meningkatkan sosioekonomi masyarakat dengan meningkatkan perkongsian faedah antara pihak jabatan dan pihak berkepentingan.
Katanya, melalui program tersebut, tanaman kontan bersama tanaman pokok-pokok hutan akan ditanam bagi membantu meningkatkan sumber pencarian masyarakat setempat terutama orang asli di kawasan Tasik Chini.
“Selain Program Perhutanan Sosial, JPSM dengan kerjasama JMG dan Jabatan JPS juga akan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan perlombongan dan pemuliharaan lombong melalui penanaman semula pokok hutan dan penghijauan tebing-tebing kawasan perlombongan.
“Ia bagi memastikan kegiatan itu dilaksanakan dengan lebih terkawal dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan di kawasan pajakan lombong untuk aktiviti perlombongan,” katanya.
Selain itu katanya, semakan dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga mendapati tiada lesen pembalakan dikeluarkan di kawasan rizab Tasik Chini.
JPSM akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengawal sebarang penerokaan secara haram ke atas kawasan tersebut
0 comments:
Post a Comment