Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 26, 2017

NAFI DAKWAAN KERAJAAN GAGAL JAGA KEBAJIKAN POLIS


Nur Jazlan Mohamed


Johor Bahru - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyangkal tuduhan pemimpin pembangkang, mendakwa kerajaan gagal menjaga kebajikan polis yang berdepan dengan kos sara hidup tinggi.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, banyak perkara yang kerajaan telah lakukan untuk anggota dan pegawai polis, termasuklah soal kelengkapan serta kebajikan.

Beliau berkata, kira-kira 80 peratus daripada RM12.8 bilion peruntukan tahunan diterima KDN daripada bajet persekutuan, adalah untuk operasi dan pembangunan berkenaan dengan polis.

“Jadi tidak timbul isu mengenai kebajikan anggota keselamatan kita yang diabaikan kerajaan.

"Dan usaha untuk menambah baik lagi kelengkapan dan juga kebajikan anggota polis ini, akan diteruskan berdasarkan kepada peruntukan yang disediakan Kementerian Kewangan," katanya ketika ditemui di Plaza Angsana di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan pemimpin pembangkang yang mendakwa kerajaan gagal menjaga kebajikan anggota keselamatan tersebut yang berdepan dengan kos sara hidup tinggi.

Nur Jazlan berkata, beliau turut menyangkal tuduhan parti pembangkang yang menyebarkan mesej menerusi aplikasi Whatsapp menyatakan dirinya sebagai tidak bersimpati terhadap kebajikan polis di negara ini.

Mengulas mengenai kenyataannya berhubung pemantauan terhadap pegawai polis yang mempunyai masalah hutang, menurutnya, perkara itu dinyatakan ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap.

"Ia juga ditimbulkan oleh pegawai polis sendiri yang menyatakan bahawa kadar keberhutangan pegawai polis walaupun dalam jumlah yang tidak besar setakat ini, perlu dibendung lebih awal supaya tidak menjadi masalah yang besar.

"Dalam usaha pihak polis untuk memantapkan lagi keberkesanannya, maka pihak polis sedang memantau pegawai-pegawainya yang mempunyai kadar keberhutangan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, ia bertujuan membantu golongan itu untuk menyelesai masalah keberhutangan yang tinggi.

"Tapi isu ini telah diputarbelitkan dan dikaitkan dengan isu kos sara hidup dan sebagainya

"Apa yang saya katakan dalam parlimen baru-baru ini, adalah sebagai menjawab dan menerangkan prosedur kerajaan berkenaan dengan keberhutangan di kalangan pegawai kerajaan.

"Soal kos sara hidup adalah soal sampingan yang sentiasa ditangani oleh KDN dan juga pihak polis untuk memastikan kebajikan polis sentiasa diperbaiki dari masa ke semasa," katanya.

Nur Jazlan akui tidak mahu perkara itu diperbesar dan dijadikan isu sehingga menunjukkan kerajaan seperti tidak prihatin kepada anggota polis terutama di peringkat bawahan.


0 comments:

share2