Penyanyi kumpulan rock era 90-an, Mael XPDC atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini selepas dilaporkan rebah di kediamannya di Muar, pagi semalam.
Menurut salah seorang rakan Mael yang dikenali sebagai Mad Rox, keadaan penyanyi berusia 49 tahun itu masih lemah berikutan kekurangan air dalam tubuh.
"Saya mendapat panggilan sekitar jam 11.30 pagi daripada 999 mengatakan Mael dimasukkan ke HPSF. Menurut pihak berkenaan, salah seorang rakan Mael telah menemuinya terlebih dahulu dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri sebelum dia menghubungi talian kecemasan.
"Sejurus mendapat tahu mengenai perkara tersebut, saya terus bergegas ke hospital sambil memaklumkan perkara itu kepada anaknya, Syed Israfil yang kini berada di Kuala Lumpur dan menghubungi pengurusnya, Yazid," katanya ketika dihubungi.
Menurut Mad Rox, keadaan Mael kini stabil selepas menerima rawatan di wad kecemasan dan kini dia telah dibenarkan berpindah ke wad biasa.
"Mael telah sedarkan diri tengahari tadi cuma keadaannya masih lagi lemah. Tubuh badannya kekurangan air sehingga mengalami dehidrasi yang teruk. Malah, sebelum ini dia juga dikatakan tidak mahu makan selama beberapa hari menyebabkan penyakit gout itu mengganggu kesihatan dia.
"Mengikut sejarah, sebelum ini dia juga pernah mengalami muntah darah dan kita bimbang gejala itu yang menyebabkan keadaan kesihatannya kurang baik," katanya.
Mad Rox berkata, keadaan Mael sebelum ini sihat dan masih aktif dalam membuat apa sahaja persembahan meskipun telah disahkan gout.
"Sebelum ini dia kelihatan aktif meskipun kurang menjaga pemakanan kerana sibuk dengan persembahan. Namun dalam beberapa hari ini, pengurusnya memaklumkan Mael hanya berehat di rumah kerana jadualnya tidak begitu padat.
"Dan mungkin kerana tabiat makan dan minumnya yang tidak begitu teratur selain keadaan dirinya yang banyak berehat di rumah menyebabkan penyakit gout itu menyerang semula," katanya.
Bagaimanapun, ujar Mad Rox keadaan Mael terkawal dan dia kini sedang dimasukkan air.
Sementara itu, pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut sambil memberitahu penyanyi berusia 49 tahun itu masih menerima rawatan.
"Keadaannya secara menyeluruh masih belum dapat dipastikan kerana dia baru sahaja dirawat siang tadi," katanya.
Sebelum itu, usaha Sinar Harian untuk menemu bual ahli keluarga dan pengurus Mael gagal kerana pihak berkenaan enggan ditemui.
0 comments:
Post a Comment