“Jangan malu kalau kita ditakdirkan memiliki anak OKU,” demikian pesan pelakon terkenal, Zarina Zainuddin yang menjadi tetamu khas pada sesi perkongsian pengalaman Tiket Ke Syurga yang dianjurkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang Selasa lalu.
Katanya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk membawa mereka keluar bersiar-siar di tempat selesa untuk perkembangan minda walaupun mereka tidak seperti insan normal lain.
“Saya suka bawa anak-anak ke kedai buku, dan selalu bawa mereka berjalan-jalan ke tempat yang inginkan. Ini semua saya lakukan agar mereka tak jadi macam katak di bawah tempurung,” katanya ketika menceritakan pengalaman membesarkan anak autisme pada program yang diadakan di De Rhu Beach Resort di sini.
Zarina memiliki pasangan kembar, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai kini sudah mencecah usia 21 tahun dan hanya diketahui menghidap autisme ketika kedua-duanya berusia tiga tahun.
Katanya, meskipun anak-anaknya itu tidak seperti remaja normal, namun dia tetap membawa mereka seminggu sekali ke kedai buku kerana mereka berdua selesa berada di situ.
“Pernah sekali Muhammad Razil ambil poskad beratus-ratus keping, tapi saya tak suruh dia pulangkan, saya bayar juga. Sebab itu yang dia mahu.
“Kita kena sabar dengan karenah anak-anak OKU ini, sebab mereka bukan macam orang lain," katanya.
Zarina menambah, dia juga tidak pernah berasa takut untuk membawa anak-anaknya itu keluar berjalan kerana tahu mereka seronok berasa bebas.
“Bila kita bawa keluar, mereka akan berlari ke sana sini. Saya yakin pendedahan pada dunia luar membuatkan mereka lebih terbuka,” katanya.
Program berkenaan turut menjemput juara Mimbar Pencetus Ummah (PU) musim keempat, Ustaz Nor Hamizi Jamaluddin dan Vokalis Caliph Buskers, Khairul Azmi Mohd Saat.
Hadir sama, Pengerusi PDK Kompleks Penyayang, Pai Syahira Yahya.
Menurut Zarina, anak-anak OKU memerlukan perhatian lebih daripada ibu bapa berbanding anak normal kerana mereka boleh mencederakan diri sendiri.
“Memang adik-beradik lain cemburu sebab saya lebihkan abang mereka, tapi apakan daya, mereka perlukan perhatian lebih. Satu hari nanti anak-anak yang lain akan faham keadaan abang mereka,” katanya.
Katanya, kedua-dua anaknya itu dilahirkan tidak cukup bulan di mana Muhammad Razil ketika dilahirkan hanya seberat 1.6 kilogram manakala Muhammad Raizal pula hanya 1.4 kilogram.
“Tapi mereka berdua membesar normal macam kanak-kanak lain. Cuma ketika umur Muhammad Razil setahun, saya nampak dia selalu cederakan diri dengan menghantukkan kepala ke dinding dan mencakar muka sendiri.
“Waktu mereka berusia tiga tahun, saya bawa berjumpa doktor pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras. Masa tu barulah disahkan kedua-duanya menghidap autisme,” katanya.
0 comments:
Post a Comment