Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 3, 2017

[KUANTAN] DARI KAYU HANYUT JADI HIASAN UNIK


Dari kayu hanyut jadi hiasan unik


Kayu hanyut di kawasan pantai dan sungai mungkin dianggap sampah bagi sesetengah individu, namun sentuhan tangan anak seni merubah darjat kayu itu untuk menghiasi landskap kediaman.

Pemilik Sepat Village House (Sepat Village,) Nawawi Abdul Rahman, 53, berkata, kayu hanyut mempunyai ‘harga diri’ yang tersendiri malah harganya mencecah ribuan ringgit jika dikomersialkan.

Menurutnya, hampir setiap ruang dan sudut di rumah dua tingkat itu dipenuhi hiasan seni ukiran kayu hanyut yang dicari sendiri sekitar Pantai Sepat, Sungai Lembing, Balok dan Chendor selain dibeli daripada rakan.

“Kayu hanyut terpilih seperti kayu cengal, merbau, balau, meranti, keranji dan kulim yang mampu bertahan lama serta lebih lasak.

“Lanskap luar rumah dihiasi kayu hanyut dengan warna asal dan sedikit sentuhan pengubahsuaian manakala produk kraf di bahagian dalam, disapu varnis untuk menaikkan serinya.

“Setakat ini, saya tidak berhasrat menjual walaupun ada permintaan kerana sayang kalau dijual. Kayu hanyut ini bentuknya hanya satu, tidak ada pendua,” katanya.

Nawawi berkata, antara koleksi kraf yang menghiasi rumah itu adalah kayu landasan kereta api, batu kristal, batu sungai dan kayu hanyut yang hampir menyerupai bentuk haiwan seperti burung, itik, angsa, gajah serta rusa.

Menurutnya, batang atau akar dan tunggul boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan lain seperti tiang rumah, perabot, almari serta meja.

“Bentuk kayu semula jadi ini menjadi daya tarikan tetamu terutama pelancong luar negara yang menginap di sini,” katanya.


0 comments:

share2