Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 17, 2017

[KUANTAN] BERKAT BACA AL-QURAN SEBELUM ULANG KAJI


Berkat baca al-Quran sebelum ulang kaji


Walaupun hanya menimba ilmu selama dua tahun di sekolah menengah, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat Muhammad Hafizuddin Nazlee, 18, untuk memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan SPM.

Malah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin itu mengakui sepanjang dua tahun bersekolah di situ, tumpuan lebih terpaksa diberikan bagi memastikan semua subjek dapat difahami sepenuhnya.

Katanya, dia tidak mahu ketinggalan dan terus gagal dalam pelajaran meskipun masih cuba membiasakan diri dengan sistem pendidikan di negara ini.

“Sebelum ini, saya belajar menghafal al-Quran di Afrika Selatan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Saya berada di sana selama tiga tahun untuk mendalami ilmu agama.

“Selepas tiga tahun, alhamdulillah saya berjaya hafal 30 juzuk al-Quran dan pulang semula ke Malaysia.

“Bila pulang ke sini, saya masuk sekolah semula di tingkatan 4 dan mula belajar ilmu akademik untuk menduduki SPM,” katanya ketika ditemui di Dewan SMK Bukit Rangin, di sini semalam.

Anak ketiga daripada tujuh beradik mengakui kejutan daripada segi sistem pembelajaran dan ia tidak sama seperti sebelum ini, tetapi dengan adanya bantuan keluarga guru-guru serta rakan sekolah, kesukaran itu dilalui dengan tabah.

Katanya, dia belajar secara berperingkat dan bersungguh -sungguh hingga mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM sebelum ini.

“Saya lebih utamakan subjek yang dipelajari untuk tingkatan 4 dan 5, manakala bagi subjek semasa tingkatan satu hingga tiga, saya buat latihan untuk tajuk-tajuk tertentu sahaja.

“Jadual belajar saya biasa sahaja, tetapi saya lebih memberi penekanan untuk mengaji al-Quran dan ke masjid terlebih dahulu sebelum ulang kaji subjek akademik,” katanya.

Muhammad Hafizuddin berkata, dia bercita- cita untuk menjadi seorang jurutera dan berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di Jepun.


0 comments:

share2