Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 14, 2017

‘KEJAP ADA, KEJAP TAK ADA'


‘Kejap ada, kejap tak ada’


Kuala Nerang - Penduduk beberapa kampung di sini kecewa dengan perkhidmatan sebuah syarikat bas yang dikatakan sering tiada sehingga menjejaskan aktiviti harian mereka.

Penduduk mendakwa kegagalan pihak berkenaan menyediakan perkhidmatan bas mengikut masa ditetapkan menyebabkan persekolahan anak mereka turut terjejas.

Amir Amran Shaari, 41, dari Kampung Perik berkata, perkhidmatan bas itu sering terjejas sejak tahun lalu, sedangkan beberapa kampung di Mukim Kurung Hitam masih bergantung kepada pengangkutan awam itu terutama pelajar yang bersekolah di pekan Kuala Nerang.

"Dah seminggu bas tak ada sampai ibu bapa terpaksa hantar anak-anak ke sekolah hingga mengganggu tugas mereka yang sepatutnya pergi bekerja ketika itu.

“Lebih mengecewakan bila ada ibu bapa terpaksa hantar anak mereka pagi dan petang kerana waktu sekolah tak sama. Ini mengganggu tugas mereka, selain terpaksa tanggung kos pengangkutan yang semakin mahal,” katanya.

Tambahnya, ada beberapa pelajar terpaksa membatalkan niat untuk ke sekolah yang terletak kira-kira 25 kilometer kerana ketiadaan bas untuk membawa mereka ke sana.

"Masalah ini pernah diadukan kepada pihak berkenaan, tapi mereka bagi alasan bas tak cukup nak bawa pelajar ke sekolah. Sepatutnya sebagai sebuah negara maju, tak timbul masalah ketiadaan bas untuk beri perkhidmatan kepada masyarakat terutama di luar bandar,” katanya.

Menurut Sarimah Yakob, 32, dari Kampung Paya Terap, ketiadaan bas sejak akhir-akhir ini menimbulkan banyak masalah kepada penduduk setempat, tambah pula ibu bapa telah membeli tiket bulanan bernilai RM45 bagi memudahkan anak mereka ke sekolah.

"Ketiadaan bas menyebabkan tiket itu sia-sia begitu saja. Bulan lepas, hanya beberapa hari pelajar dapat guna kad tu, selebihnya tak dapat guna. Bagi pelajar yang akan duduki peperiksaan, tentu akan kecewa bila mereka tak dapat hadir ke sekolah kerana masalah pengangkutan seperti ini.

"Ada pelajar terpaksa pulang ke rumah kerana tak ada bas nak bawa mereka ke sekolah di pekan Kuala Nerang. Jadi pihak berkenaan perlulah simpati dengan kehidupan kami di sini yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh dan petani," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Bas Mara Liner Kuala Nerang, Zaidi Napiah menafikan dakwaan mengatakan pihaknya tidak meneruskan perkhidmatan bas seperti biasa.

Sebaliknya, beliau memaklumkan, masalah itu timbul berikutan pihaknya mengalami kekurangan bas yang masih dalam pemeriksaan Puspakom.

"Masalah ini menyebabkan kami terpaksa beri keutamaan kepada laluan penting terlebih dahulu hingga adakala terlewat ke destinasi lain.

“Saya harap penduduk dapat bersabar hingga masalah ini dapat diselesaikan. Kami sedang berusaha bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin untuk kemudahan penduduk di situ,” katanya.


0 comments:

share2