KEDUTAAN Besar Malaysia di Korea Utara memusnahkan segala dokumen penting sebaik Pyongyang bertindak mengusir keluar Duta Besar Malaysia, Mohamad Nizan Mohamad.
Menurut laporan stesen penyiaran China, prosedur darurat berkenaan termasuk memuatkan bagasi mereka ke dalam kenderaan diplomatik dilakukan sebaik saja Korea Utara mengumumkan keputusan itu jam 6 petang, 6 Mac lalu.
Media China menyiarkan perkara itu sebelum agensi berita rasmi, Korea Central News Agency melaporkan arahan semua rakyat Malaysia dilarang meninggalkan Korea Utara, yang memetik kenyataan Kementerian Luar negara itu.
Stesen CCTV13 milik China melaporkan, bendera Jalur Gemilang dan bendera Asean di pekarangan canseleri juga diturunkan separuh tiang pada Selasa lalu, manakala tiga kenderaan diplomatik dilihat bergegas meninggalkan premis.
Bagaimanapun, agensi berita MediaCorp milik Singapura melaporkan, 11 warga Malaysia termasuk petugas kedutaan gagal keluar ketika cuba menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sunan Pyongyang.
Kesemuanya terkandas termasuk dua petugas sukarelawan program bantuan makanan anjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), manakala selebihnya ialah tiga kakitangan kedutaan dan enam orang ahli keluarga mereka.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika ditemui pemberita di Parlimen Malaysia mengesahkan mereka selamat dan nyawa tidak terancam kerana dipantau pihak Divisyen Protokol Korea Utara.
Pyongyang menuntut Mohamad Nizan yang sebenarnya telah pun kembali ke Malaysia pada 22 Februari lalu supaya meninggalkan negara rejim komunis itu dalam masa 48 jam bermula jam 10 pagi Ahad lalu.
Langkah diambil sebagai membalas tindakan Malaysia mengisytiharkan Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol sebagai persona non grata pada 4 Mac lalu dan memberi tempoh 48 jam meninggalkan negara Islam itu.
Ia dilakukan selepas beliau gagal tampil di Wisma Putra pada hari berkenaan untuk memohon maaf. Kang Chol meninggalkan Malaysia dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines terus ke Beijing, China petang Isnin lalu.
Duta negara itu juga dengan celupar tidak berpuas hati terhadap cara pihak berkuasa Malaysia mengendalikan siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, yang juga abang kepada pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong-un.
Jong-nam terbunuh apabila diserang dua wanita Asia tenggara dengan menggunakan senjata kimia, agen saraf VX yang diharamkan, semasa mangsa menunggu penerbangan ke Macau, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang pada 13 Februari lalu.
Pada 1 Mac lalu, rakyat Vietnam, Doan Thi Huong, 29, dan warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.
0 comments:
Post a Comment