Kampung Binjai yang didalam JKKK Kg Lata Kasah bersama-sama Kg. Sungai Badak adalah diumpamakan sebuah kampung yang ketinggalan dari arus pembangunan meskipun ianya cuma 6 kilometer jaraknya dari bandar Jerantut.
Ianya hanya 'bernafas' semula beberapa tahun lalu apabila Jabatan Perikanan mula memberikan bantuan dalam projek ternakan ikan kolam dengan memulihkan sawah-sawah terbiar.
Kebelakangan ini penduduk kampung berkenaan dengan usaha sendiri menubuhkan komuniti telah mula mengubah wajah kampung berkenaan kearah lebih maju. Semuanya bermula apabila kelab sukan dan kebajikan pekerja Majlis Daerah Jerantut (Kesuma) bersama komuniti menjalin usaha sama memajukan kolam pancing dan menjadikannya Taman Rekreasi Air Kg. Binjai.
Menurut seorang penduduk, mereka telah memulakan beberapa usaha untuk membangun dari segi ekonomi dengan melibatkan bidang pertanian dan ternakan. Mereka telah memelihara itik secara berkongsi iaitu asas kepada koperasi dan akan mengusahakan tanaman cili secara fertigasi dalam waktu terdekat dengan bantuan Jabatan Pertanian.
Dalam sektor pelancongan desa, selain dari menawarkan aktiviti sukan air mereka juga sudah menawarkan sewaan basikal 'mountain bike' kepada pengunjung. Selain itu aktiviti 'Jungle Trekking' di hutan berdekatan juga dapat dilakukan dengan terbinanya rentis hutan yang mereka teroka secara gotong-royong.
Usaha untuk mewujudkan 'homestay' juga sedang giat dilaksanakan dan nama-nama mereka yang berminat sudahpun dikjumpulkan untuk diserahkan kepada pihak Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang dalam waktu terdekat.
Homestay di Kg Binjai bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini mereka sudah pernah menerima pelancong asing yang menginap di rumah mereka secara tidak resmi. YB Dato' Sri Mohd Sharkar Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri pernah merasmikan satu program disini mewakili YB Dato' Sri Maznah Mazlan yang jadi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan kebudayaan ketika itu.
Menurut jurucakap komuniti berkenaan, mereka juga telah mengadakan ceramah penubuhan koperasi baru-baru ini kerana antara prasyarat menuju wawasan desa lestari mereka memerlukan pertubuhan koperasi diujudkan.
YB Adun kawasan Damak banyak memberi bantuan kecil-kecilan selama ini, namun Ahli Parlimen perlu memberi bantuan dengan skala lebih besar lagi bagi mempercepatkan kemajuan kampung ini. Demikian luahan hati sebahagian ahli komuniti yang didengari.
0 comments:
Post a Comment