Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 7, 2017

[JERANTUT] DIISYTIHAR ZON BEBAS ROKOK. VAPE


Diisytihar zon bebas rokok, vape


Taman Negara Kuala Tahan secara rasminya dijadikan sebagai kawasan bebas asap rokok serta vape di mana pelancarannya dianjurkan Pejabat Kesihatan Daerah dan disempurnakan Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Idros Yahya di Dataran Kuala Tahan, Sabtu lalu.

Pelancaran Blue Ribbon Campaign itu diadakan sempena program Taman Negara Bird Count 2017, bermula Jumaat lalu dan berakhir kelmarin.

Bagi menyokong usaha itu, pimpinan setempat dan pengusaha resort menetapkan beberapa kawasan awam sebagai kawasan larangan merokok.

Ini termasuk di dalam bilik hotel atau resort, restoran, titian kanopi, bunbun Tahan, tempat pendaftaran, dataran, kawasan sekolah dan kawasan berbumbung.

Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadun Zabir berkata, pihaknya bersama pimpinan setempat juga akan memastikan tidak ada satu pun puntung rokok dalam kawasan taman negara berkenaan.

“Kita mahu jadikan Taman Negara Kuala Tahan sebagai kawasan bebas asap rokok atau vape dan menjadikan Singapura sebagai contoh,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun sukar untuk meminta penghisap rokok dan vape menghentikan tabiat mereka secara total, justeru pihaknya akan memikirkan kawasan yang dibenarkan untuk merokok.

“Setakat ini kita sudah kenal pasti beberapa kawasan larangan merokok dan ia telah dilaksanakan sejak tahun lalu seperti di restoran terapung.

“Kita perluas lagi kawasan larangan merokok ini terutama di kawasan tumpuan orang awam, namun dalam masa sama akan memikirkan lokasi sesuai untuk perokok merokok,” katanya.

Pada masa sama beliau turut memohon kerjasama pelbagai pihak khususnya masyarakat setempat untuk membantu merealisasikan hasrat menjadikan kawasan Taman Negara Kuala Tahan sifar puntung rokok.

“Kita juga akan menyusun program berkaitan untuk memberi kesedaran tentang bahaya asap rokok kepada masyarakat dari semasa ke semasa dan menyelitkan kempen anti merokok dalam setiap program yang dianjurkan,” katanya.

Turut menyahut cabaran menjadikan Taman Negara Kuala Tahan sebagai kawasan bebas asap rokok ialah Mutiara Taman Negara Resort (MTN) yang melarang pengunjungnya merokok di dalam bilik.

Pengurus MTN, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, pihaknya mengazetkan kawasan berbumbung sebagai kawasan larangan merokok, justeru perokok dibenarkan merokok di luar bilik dan tepi restoran sahaja.


0 comments:

share2