Seorang warga emas mengharapkan bantuan orang ramai untuk mencari anaknya yang kini tidak diketahui nasibnya selepas hilang sejak 1 Mac lalu.
Ye Ah Nga, 79, berkata, dia sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu selepas empat hari tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, anaknya, Ye Chan Fatt, 35, keluar rumah di Taman Koperasi di sini sehelai sepinggang tanpa memberitahunya.
Katanya, kali terakhir anaknya itu dilihat keluar rumah berpakaian seluar pendek dan baju lengan pendek berwarna hijau.
“Sebelah tangan dan kaki kirinya hadapi masalah kerana diserang strok mengakibatkan separuh badannya lumpuh sebelum ini,” katanya.
Bimbang keselamatan anaknya itu, pelbagai ikhtiar telah dilakukan untuk mencari termasuk mendapatkan bantuan dari Persatuan Komuniti Kepolisan Jerantut selain turut bertemu dengan Ketua AMK Pahang, Wong Chun Yuan.
Chun Yuan berkata, kehilangan Chan Fatt turut disebarkan menerusi laman media sosial dan surat khabar Cina.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang maklumat diterima mengenai Chan Fatt.
“Kemungkinan dia (Chan Fatt) sudah tidak berada di daerah ini.Malah, tidak mustahil juga jika dia sudah berada di negeri lain.
"Namun, ahli keluarganya amat bimbang dengan keselamatan dirinya, tambahan pula Chan Fatt ada seorang anak yang masih bersekolah berusia sembilan tahun,” katanya.
Menurutnya, Chan Fatt tidak bekerja dan tidak mempunyai wang selain menjadi rutin untuknya keluar ke bandar. Namun, hanya untuk seketika dan pulang semula ke rumah.
“Tanpa membawa apa-apa kelengkapan dan wang dia keluar dari rumah.
"Ibu bapa dia sangat risaukannya dan berharap orang ramai yang mengenalinya dapat memaklumkan kepada keluarga akan keadaannya,” katanya.
Orang ramai yang mengenali atau terjumpa Chan Fatt boleh menghubungi Chun Yuan di talian 010-9020925 bagi membantu keluarga mengesannya.
0 comments:
Post a Comment