Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 17, 2017

[JENGKA] KEMBARA KERJAYA TAWAR 3,000 PEKERJAAN


Kembara kerjaya tawar 3,000 pekerjaan


Kembara Kerjaya Jelajah Felda 2017 "Moh Kerja" di kawasan Felda menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan daripada 60 majikan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, peluang ini diharapkan dapat diguna sebaik mungkin oleh anak-anak Felda kerana mereka beruntung, tidak susah payah mencari bakal majikan, sebaliknya majikan datang ke sini.

Menurutnya, sehingga 28 Februari 2017, seramai 311,298 pencari kerja aktif mendaftar dalam portal JobsMalaysia dan sebanyak 23,255 penempatan pekerjaan telah berjaya dilaksanakan.

"Pada tahun 2016 telah mencatatkan penempatan pekerjaan seramai 176,105 pencari kerja. InsyaAllah pada tahun ini kita akan mempertingkatkan lagi usaha membantu menempatkan pekerja," katanya pada majlis Perasmikan Program Kembara Kerjaya Jelajah Felda 2017, di Felda Jengka 3, di sini, pagi tadi.

Beliau berkata, kerajaan telah menyediakan 20 buah Pusat JobMalaysia (JMc) di seluruh Malaysia iaitu pusat sehenti yang ditempatkan bersama badan-badan dan agensi kerajaan di bangunan UTC bagi kemudahan rakyat.

Laluan Kembara Kerjaya Felda Pahang akan menjelajah lima kawasan bermula hari ini di Felda Jengka 3 diikuti Dewan Chini Timur dan Keratong 8 sebelum ke Keratong 2 dan akan berakhir di Bera pada 19 Mac sebagai upacara penutup.

Turut menyertai kembara ialah agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Adalah diharapkan usaha ini dapat dirasai dan dinikmati oleh semua pihak terutama golongan pekerja dan majikan. Kita tidak mahu anak-anak Felda yang telah hidup selesa sehingga hari ini terjerumus dalam aktiviti yang tidak baik sebaliknya kita cuba mencari pekerjaan yang terbaik untuk mereka. 

"Bersyukur dengan pengorbanan dan pemikiran hebat bapa kepada Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib iaitu Tun Abdul Razak dengan cetusan penubuhan Felda yang telah berjaya memberi faedah kepada penduduk. Terutamanya peneroka yang kini berada dalam sistem kemasyarakatan lebih sempurna berbanding kemiskinan.

"Saya berharap, ibu bapa dapat memastikan anak-anak mempunyai pekerjaan agar menjadi anak yang soleh solehah dan akan sentiasa mendoakan kedua ibu bapa mereka. Belajarlah, sehingga ke akhir usia," katanya.

Sementara itu Adun Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, program ini diharapkan dapat membantu para pekerja mendapatkan pekerjaan serta membantu para majikan memperoleh tenaga kerja yang berkualiti dan berpotensi bagi keperluan industri mereka.

"Melalui peluang ini para penduduk bukan sahaja dapat meninjau peluang kerja kosong tetapi juga boleh mendapatkan tips temuduga dan panduan memilih pekerjaan.

"Dunia pekerjaan adalah satu dunia yang luas yang pasti akan diterokai setiap individu. Saya juga mengambil kesempatan mengajak anda senua mendoakan rakyat Malaysia di Korea Selatan agar mereka selamat pulang ke Malaysia. Itulah cabaran dalam pekerjaan dan jadikan pengajaran serta pedoman untuk kita menempuh kerjaya," katanya 

Sementara itu, Pegawai Sumber Manusia Samsung Electronics (M) Sdn Bhd dari Pelabuhan Klang Selangor berkata, pihaknya membuka temuduga bagi kekosongan jawatan operator dengan gaji bulanan sehingga RM1,400 sebulan, sempena karnival tersebut.

"Kami akan mengikuti jelajah ini ke setiap lokasi diaturkan pihak penganjur. Pada masa sama kami juga mencari calon yang berkelayakan untuk kerja kosong di Samsung. Banyak insentif lain diberikan untuk jawatan ini antaranya asrama, pengangkutan, subsidi makanan, potongan KWSP dan SOCSO serta banyak lagi. Maklumat lanjut boleh datang ke booth kami," katanya.


0 comments:

share2