Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 20, 2017

’GENG SUBUH' PECAH CERMIN KERETA TUMPAS


’Geng Subuh’ pecah cermin kereta tumpas


Yan - Polis daerah ini berjaya membanteras kegiatan jenayah pecah cermin kereta pada waktu subuh di masjid sekitar Yan yang giat dijalankan oleh Geng Subuh.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritenden Muhamad Halim Yatim berkata kejayaan pihak polis menangkap kesemua enam ahli kumpulan berkenaan membuatkan pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes pecah cermin kereta yang berlaku di daerah ini.

"Pada tahun 2016 sebanyak tujuh kes dilaporkan dan empat kes untuk tahun ini," katanya.

Tambah Muhamad Halim, tangkapan ini melibatkan dua suspek wanita dan empat lelaki yang berusia 26 hingga 41 tahun di mana ketua mereka berusia 32 tahun dan kesemua mereka merupakan penagih tegar dadah.

"Ekoran berlakunya kes pecah cermin kereta pada kali pertama dulu, saya telah menasihatkan pihak jawatankuasa masjid untuk memasang rakaman kamera litar tertutup di kawasan parkir bagi mengawasi tahap keselamatan kawasan berkenaan.

"Hasil pemasangan rakaman kamera litar tertutup berkenaan kami berjaya menahan ahli kumpulan Geng Subuh selepas geng berkenaan melakukan kes pecah cermin kereta di Masjid Abdul Rahman Putra, Sungai Yan pada 11 Mac lalu," katanya.

Menurut Muhamad Halim, modus operandi yang digunakan ialah suspek akan bergerak empat orang dalam sesebuah kereta.

"Dua daripada mereka akan berada di dalam kereta dan dua lagi akan berlakon untuk solat jemaah di dalam masjid.

"Apabila dimaklumkan rakan di dalam masjid yang jemaah sudah memulakan solat, dua suspek yang berada di dalam kereta akan memulakan kegiatan memecahkan cermin kereta.

"Mereka akan membaling pecahan seramik palam pencucuh ke arah cermin kereta mangsa dan suspek akan memakai jaket bagi memecahkan kesemua permukaan cermin menggunakan tangan bagi mengelakkan tangannya terluka," katanya.

Tambah Muhamad Halim, pihak polis mula melakukan siasatan apabila seorang pesara guru berusia 62 tahun berasal dari Bangi menjadi mangsa dengan kerugian RM3,000 Ketika singgah solat subuh pada 11 Mac lalu di masjid Abdul rahman Putra, Sungai Yan.

"Hasil laporan berkenaan kita terus melakukan siasatan melalui rakaman kamera kitar tertutup dan berjaya mengesan sebuah kereta jenis Honda dan turut berjaya menahan kesemua suspek yang tinggal di sebuah rumah di kampung Pasir Kechil, Jalan Kuala Ketil pada petang hari yang sama.

Hasil tangkapan polis memperoleh semula barang milik mangsa yang dan kesemua suspek turut mengaku kumpulan mereka terlibat dengan satu kes pecah kereta di kawasan ini pada tahun lalu dan tiga kes pada tahun ini yang melibatkan kerugian berjumlah RM10,000 hingga RM12,000. 

Hasil siasatan juga mendapati ketua geng tersebut mempunyai dua rekod jenayah merompak dan tiga rekod dadah.

Muhamad Halim turut menasihatkan kepada semua jemaah yang datang ke masjid supaya tidak meninggalkan barangan berharga ataupun beg di dalam kereta meskipun di dalam beg tersebut hanya mempunyai pakaian. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 379/427 kanun keseksaan dan kesemua suspek direman bermula 12 Mac lalu hingga 22 Mac ini.


0 comments:

share2