Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 21, 2017

DATUK SERI, 11 RAKAN MENGAKU TIDAK BERSALAH


Datuk Seri, 11 rakan mengaku tidak bersalah


Georgetown - Seorang lelaki berstatus Datuk Seri bersama 11 rakannya mengaku tidak bersalah melakukan rusuhan di Pulau Tikus Sabtu lalu.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama dengan beberapa orang yang masih bebas di Bilik E3 Pusat Hiburan Suncity KTV Midland di Jalan Burmah, Midland di sini kira-kira jam 3.58 pagi, 18 Mac lalu.

Pendakwaan dibacakan Timbalan Pendakwaraya, Nurul Fatin Hussin di hadapan Majistret Mohamed Amin Shahul Hamid di Mahkamah Khas Trafik di sini, hari ini. 

Tertuduh, Loh Peng Kok, 36 bersama 11 rakan-rakannya, Tan Ban Chuan, 47; N'g Hao Ning, 30; Muhamad Naim Abdul Rahman; 19; J Shatheeswaran, 25; N Kartigk, 26; Curtis Veeran, 20; Tan Teong Boon, 25; Teoh Chee Seng; 37; Siow Peir Sheng, 24, Teoh Kim Teik, 21 dan Tan Kai Chong, 21 yang diwakili peguam RSN Rayer bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Nurul Fatin walau bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rayer dalam rayuannya meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM2,000 setiap seorang berikutan kesemua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Selain itu, Rayer berkata, mereka juga bukan warganegara asing yang berisiko untuk melarikan diri.

"Di sisi undang-undang, kes ini dibawah peruntukan 'non bailable' yang tidak boleh diikat jamin. Namun dengan budi bicara mahkamah, saya memohon agar kesemua anak guam saya diikat jamin.

"Ini kerana mereka warganegara Malaysia yang tidak berisiko untuk melarikan diri. Selain itu, kes ini berbeza dengan Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang mana ia lebih serius iaitu menggunakan senjata tetapi kes ini tiada senjata digunakan," katanya.

Mohamed Amin kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mei ini untuk sebutan semula kes. 

Kesemua tertuduh membayar ikat jamin tersebut.


0 comments:

share2