Ditimpa musibah banjir bulan lalu sehingga kerugian kira-kira RM2,000 tidak mematahkan semangat sepasang suami isteri untuk meneruskan perniagaan karipap dan popia mini yang diusahakan mereka sejak empat tahun lalu.
Abdul Radzi Mat, 45 dan isteri, Nadhirah Mokhtar, 45, mengakui akibat bencana itu, mereka mengalami kerugian bukan sahaja disebabkan bahan mentah rosak, malah tempahan yang diambil tertangguh dan ada terpaksa dibatalkan.
Mohd Radzi berkata, setelah dua minggu banjir berlalu, barulah mereka dapat memulakan kembali perniagaan dengan menyiapkan tempahan pelanggan yang tertangguh.
“Mujurlah barang-barang untuk proses makanan ini sempat diselamatkan, jika tidak, tak tahulah bagaimana memandangkan air naik sehingga 0.5 meter dalam rumah,” katanya.
Menurutnya, asalnya dia hanya bekerja sendiri dengan melakukan kerja-kerja kampung.
Namun selepas disahkan menghidap buasir dan tidak dapat melakukan kerja berat katanya, dia mengambil keputusan untuk berniaga karipap serta popia mini.
“Saya terfikir keadaan ni tak boleh berterusan lalu ambil keputusan untuk berniaga karipap dan popia mini selepas dicadangkan seorang sepupu.
“Kebetulan isteri saya pandai buat karipap dan popia mini, dia pernah ambil tempahan secara kecil-kecilan ketika bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur dulu. Jadi saya fikir elok ia diteruskan kerana tak salah mencuba,” katanya.
Mohd Radzi dan Nadhirah berusaha meningkatkan kualiti, rasa inti karipap dan popia mini yang dihasilkan dengan menggunakan resipi dari Kelantan supaya rasanya sesuai dengan selera pelanggan.
“Kami sentiasa cari resipi inti terbaik dan setakat ni, resipi kami gunakan ni digemari ramai. Ada yang minta nak beli inti saja tapi kami tak mahu jual kerana tak sempat dan tak cukup untuk produk kami,” katanya.
Berbekalkan modal kira-kira RM3,000, Mohd Radzi serta Nadhirah memulakan perniagaan itu sebagai sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga dan membesarkan dua anak.
Mereka menggunakan nama Gotel untuk produk dihasilkan sempena perkataan Inggeris, ‘good taste and tell’ di bawah syarikat Awadah Zahrah Enterprise yang ditubuhkan.
Tambahnya, setelah menerima tempahan di sekitar kampung, dia mengambil keputusan mengembangkan lagi perniagaannya lalu membuat permohonan bantuan menerusi program Azam Tani di bawah jabatan veterinar.
Katanya, selain itu dia turut memohon bantuan menerusi program yang ditawarkan agensi kerajaan lain untuk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), di mana turut terlibat dalam program Amanah Ikhtiar.
“Pada asalnya saya hanya menyediakan produk ni di dapur rumah kami. Dengan pelbagai bentuk bantuan diterima, saya bina satu ruang khas untuk memproses produk kami ini.
“Sebahagian ruang turut disediakan menempatkan karipap dan popia mini untuk dijual kepada orang ramai yang datang berkunjung ke rumah kami,” katanya yang mempunyai dua pekerja.
Ujar Mohd Radzi, produknya kini turut ditempatkan di 20 premis termasuk Pasaraya Darul Makmur.
“Setakat ini, keuntungan yang kami terima setiap bulan sekitar RM3,000, namun ia bergantung kepada pasaran. Kami terima banyak tempahan ketika musim cuti terutama ketika perayaan.
“Pelanggan kami bukan saja dari penduduk daerah ini, malah dari negeri lain seperti Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan banyak lagi,” katanya.
Sumber
Sumber
0 comments:
Post a Comment