Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 5, 2017

[KUANTAN] PEMANGKU RAJA PAHANG ZIARAH JENAZAH MANGSA LEMAS


Pemangku Raja Pahang ziarah jenazah mangsa lemas


Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berangkat mencemar duli menziarahi jenazah tiga kanak-kanak yang lemas selepas terjatuh ke dalam kolam takungan bekas aktiviti perlombongan bauksit di Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam tadi.

Turut berangkat ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Tengku Abdullah bertitah, baginda akan melihat laporan berhubung kejadian dan mengarahkan pihak yang bertanggungjawab untuk menutup bekas tapak lombong bauksit yang terdapat di negeri ini bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Baginda bertitah, pihak berkenaan perlu menimbus semula bekas lombong atau memasang pagar termasuk papan tanda amaran sebagai langkah keselamatan.

"Lokasi bekas lombong terutama di kawasan perkampungan harus diberi perhatian sewajarnya," titah baginda ketika diminta mengulas kejadian tiga kanak-kanak termasuk dua beradik yang lemas selepas terjatuh ke kolam bekas lombong bauksit berhampiran kediaman mereka di Taman Sungai Karang Jaya di sini, petang semalam.

Baginda berdua turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban.


0 comments:

share2