Berpantang maut sebelum ajal, itulah perumpamaan menggambarkan nasib dua nelayan dari Balok di sini apabila mereka terselamat walaupun terapung di laut lebih 12 jam selepas bot mereka karam dipukul ombak pagi semalam.
Mohd Zulkifli Mahmud, 35, dari Taman Balok Permai di sini bagaimanapun mampu mengatasi saat genting ketika itu apabila dia bersama rakan, Mohd Isa Awang, 49, sempat berpaut pada penutup tong ikan dan berenang ke pantai dengan dibantu arus ombak.
Kedua-dua mereka akhirnya terdampar dalam keadaan selamat di Pantai Pelindung di sini kira-kira jam 8 malam, 15 kilometer dari Jeti Nelayan Balok tempat mereka turun ke laut untuk menarik pukat awal pagi, hari yang sama.
Menceritakan kembali saat-saat genting yang dilalui, Mohd Zulkifli berkata, dia keluar ke laut awal pagi semalam untuk mengangkat pukat ketam yang dipasang di lokasi kira-kira tiga batu nautika dari Pantai Balok.
Menurutnya, keadaan laut pada pagi itu agak baik dan dia langsung tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku.
“Selepas selesai mengangkat pukat, kami berdua bersiap hendak balik memandangkan hasil tangkapan pada hari tu agak banyak termasuk ketam dan pelbagai jenis ikan.
“Ketika sedang menarik sauh, saya nampak ombak berketinggian kira-kira tiga meter muncul lalu menghempas bot namun ombak ‘tiga beradik’ itu terus menghempas dan akhirnya bot kami tenggelam,”katanya.
Katanya, kejadian berlaku amat pantas menyebabkan dia tidak sempat memakai jaket keselamatan dan semua peralatan di atas bot hanyut dan ada yang tenggelam.
“Saya cuba mencapai tong minyak yang hanyut untuk berpaut, namun terpaksa membatalkannya hasrat itu selepas ia semakin jauh dibawa arus.
“Saya terpaksa berenang kembali mendapatkan Mohd Isa yang mula panik namun sempat berpaut pada penutup tong ikan,”katanya.
Menurutnya, selepas beberapa ketika, mereka berdua mengambil keputusan untuk berenang ke pantai dengan berpaut pada penutup tong ikan itu sambil berdoa akar dilindungi dan selamat sampai ke pantai.
“Saya berjaya tenangkan Mohd Isa kerana dia baru sebulan ke laut dan tidak pernah menghadapi situasi genting itu.
“Kami berenang perlahan-lahan sambil melayan arus lautan yang bergelora yang membantu menolak mereka ke arah pantai.
“Kami semakin lemah dan otot kaki beberapa kali mengalami kekejangan namun mujurlah dengan Izin ALLAH, kami selamat sampai ke pantai,”katanya.
Katanya, selepas berehat beberapa ketika, mereka cuba berjalan untuk mendapatkan bantuan sebelum terserempak beberapa lelaki sedang berkhemah di situ.
“Menyedari keadaan kami yang terlalu lemah, mereka memberikan makanan dan minuman sebelum dihantar pulang ke rumah.
“Saya dapat tahu ada usaha mencari dilakukan pasukan penyelamat namun disebabkan GPS rosak mereka mungkin tidak dapat mengesan kami,” katanya.
Mohd Zulkifli yang ditemui di rumahnya hari ini masih dalam keadaan lemah.
Katanya dia tidak serik dengan kejadian itu sebaliknya akan terus ke laut kerana itu sumber pencariannya untuk menyara keluarga.
"Cumanya saya kini buntu untuk meneruskan mata pencarian apabila bot dan enjin yang dibeli melalui pinjaman bank sudah tenggelam di dasar laut,” katanya.
0 comments:
Post a Comment