Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 10, 2017

[JENGKA] BERI PERHATIAN KEPADA ANAK ISTIMEWA


Beri perhatian kepada anak istimewa


Masyarakat diminta memberikan perhatian dan keistimewaan penuh bukan sahaja kepada anak-anak kelas pendidikan khas, malah ibu bapa dan penjaga yang mempunyai kesabaran tinggi dalam menjaga dan melayan karenah anak-anak istimewa mereka.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat juga Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, begitu juga penghargaan terhadap guru-guru yang mendidik anak-anak di kelas Pendidikan Khas yang sewajarnya dipuji.

Sehubungan itu katanya, sumbangan berupa pakaian dan kasut sekolah serta alat tulis kepada anak-anak pendidikan khas merupakan simbolik keprihatinan terhadap mereka.

"Saya bagi pihak Parlimen Kuala Krau mengucapkan terima kasih di atas Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan yang menghulurkan sumbangan kepada anak-anak istimewa ini serta syabas dan tahniah kepasa pasukan Puteri Umno Parlimen Kuala Krau yang dapat mengenalpasti sasaran penerima dalam kalangan anak anak istimewa pendidikan khas.

"Sumbangan kebajikan ini sedikit sebanyak meringankan tekanan ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak-anak istimewa. Juga setinggi-tinggi tahniah kepada pihak sekolah yang mendidik anak-anak di kelas pendidikan khas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Bantuan Yayasan Taqwa Parlimen Kuala Krau di Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat, semalam.

Seramai 100 orang murid istinewa dari 11 buah sekolah di bawah Parlimen Kuala Krau menerima bantuan tersebut, antaranya SK Jenderak Utara, SK Paya Ara, SK Batu Sawar, SK Jengka 15 dan SK Jengka 17.

Program anjuran bersama Yayasan Taqwa, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Pahang, dan Puteti Umno Parlimen Kuala Krau ini turut dihadiri Adun Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail; wakil Pejabat Pendidikan Daerah Maran (PPD), Borhanudin Hashim dan PPD Temerloh, Amri Mohd Amir.

Turut dilancarkan Tabung Puteri Prihatin Bencana Kuala Krau.

Pengurus Besar Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zabidi Nayan berkata, yayasan tersebut merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat, menerusi agenda pendidikan, kebajikan dan dakwah.

Penerima, Mohd Zahudi zainuddin, 45, dari Felda Jengka 14 melahirkan rasa bersyukur di atas keprihatinan wakil rakyat dalam membantu pihak sekolah dan diri beliau selaku bapa kepada anak istimewanya, Fatin Nurjiha.

"Saya harap bantuan sebegini akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Lebih-lebih lagi di awal persekolahan," katanya.


0 comments:

share2