Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 21, 2017

JARI KELINGKING HAMPIR PUTUS




Jari kelingking hampir putus


Kemaman - Seorang budak perempuan berusia dua tahun menggelupur kesakitan apabila jari kelingkingnya nyaris putus selepas tersepit pada pintu kayu dalam insiden di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Air Putih.

Kejadian malang itu berlaku kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin semasa mangsa sedang bermain berdekatan pintu bersama kanak-kanak lain yang turut diasuh di taska berkenaan.

Semasa kejadian, terdapat seramai 14 kanak-kanak dan tiga penjaga di taman asuhan tersebut.

Ibu mangsa, Juliana Ismail berkata, jari kelingking kanan anaknya itu tersepit setelah rakan anaknya itu menutup pintu secara tiba-tiba mengakibatkan anaknya itu menjerit kesakitan.

“Anak saya kemudiannya dibawa penjaga taska ke Klinik Air Putih untuk mendapatkan rawatan tapi disebabkan kecederaan yang parah anak saya kemudian dirujuk ke Unit Kecemasan, Hospital Kemaman.

“Hasil pemeriksaan x-ray, doktor dapati tulang jari anak saya sedikit hancur dan anak saya terpaksa menerima empat jahitan untuk sambung semula hujung jari yang hampir putus,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Lesung, Kijal, di sini, semalam.

Juliana, 33, berkata, dia mengetahui musibah yang menimpa anak bongsunya itu setelah menerima panggilan telefon daripada pihak pengurusan taska terbabit.

“Saya diminta untuk terus pergi ke hospital kerana waktu itu anak saya sedang dibawa ke sana tapi masa tu saya sangka anak cuma alami cedera biasa saja.

“Namun lepas sampai di hospital, saya terkejut tengok bahagian hujung jari kelingking anak dah terkulai, sikit lagi nak putus,” katanya.

Bagaimanapun, dia dan suaminya bersyukur jari kelingking anaknya itu dapat disambung semula.

“Tetapi saya berharap pihak pengurusan taska t lebih peka bagi mengelakkan perkara sama berulang kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa,” katanya.

Dalam pada itu, datuk mangsa, Ibrahim Abas, 55, meluahkan rasa kesal dengan insiden itu dan berharap agar pihak pengurusan taska terbabit menambah bilangan penjaga agar pemantauan lebih rapi dapat dilakukan bagi mengelakkan perkara sama daripada berlaku lagi.

“Saya terkilan sebab pihak pengurusan taska cucu tidak mengambil langkah drastik sejurus insiden ini terjadi. 

"Kami hanya dimaklumkan bahawa tuntutan insurans boleh dibuat, itu sahaja,” katanya.


0 comments:

share2