Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 5, 2017

CARI SAMPAI LUBANG CACING!


Cari sampai lubang cacing!


Cari sampai ke lubang cacing. Itulah yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tampin apabila menyerbu sebuah rumah di Taman Rasa Sayang, Selaru, Kuala Pilah yang dipercayai stor bagi dadah untuk dijual di pasaran sekitar Felda Pasir Besar, Gemas dan Felda Bukit Rokan, Gemencheh.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, hasil risikan dan maklumat awal mendapati suspek utama bagi kegiatan mengedar dadah berkenaan berasal dari Felda Bukit Rokan, namun menjadikan premis di Kuala Pilah sebagai stor menyimpan dadah.

“Kita mendapat maklumat lima sekawan iaitu tiga lelaki dan dua perempuan berusia 19 hingga 40 tahun ini telah menjalankan kegiatan ini sejak lebih tiga bulan lalu. Mereka mendapatkan bekalan di Setapak, Kuala Lumpur dan kemudiannya membungkus dadah berkenaan di Selaru, sebelum mengedar di dua buah felda di Tampin.

“Bertindak berdasarkan maklumat serta risikan kita telah melakukan serbuan ke premis yang disyaki menjadi stor lima sekawan berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi, Jumaat lalu dan menjumpai bungkusan dadah dalam paket di ketiga-tiga bilik di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hamazah berkata, ketika serbuan dibuat, polis telah mengetuk terlebih dahulu pintu hadapan premis berkenaan, namun tiada jawapan dan seterusnya telah membuka pintu di bahagian belakang rumah menggunakan cutter.

Menurutnya, semasa serbuan di bilik ketiga, seorang suspek lelaki berusia 23 tahun sedang berbaring dan hasil pemeriksaan polis menemui lima paket plastik lutsinar berisi dadah jenis Syabu seberat 2.16 gram.

“Serbuan di bilik kedua pula, suspek lelaki yang merupakan suspek utama berusia 40 tahun dan wanita berusia 27 tahun didapati sedang berbual di lantai bilik. Hasil pemeriksaan di bilik kedua telah menemui 26 paket plastik lutsinar di dalamnya mengandungi dadah jenis Heroin seberat 472.29 gram.

“Manakala, di bilik pertama pula, suspek lelaki berusia 28 tahun dan suspek perempuan berusia 19 tahun sedang berbaring di lantai. Hasil pemeriksaan telah menjumpai enam paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis Ganja seberat 11.42 gram dan empat peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis Syabu seberat 4.71 gram," katanya.

Hamazah berkata, tiga daripada suspek beralamat di Felda Bukit Rokan, dan masing-masing seorang daripada suspek berasal dari Felda Bukit Rokan Utara dan Setiawangsa, Kuala Lumpur.

“Suspek lelaki berusia 40 tahun mempunyai 12 rekod kesalahan lampau, manakala, suspek lelaki berusia 23 tahun pula mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau. Manakala, tiga lagi suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Hasil ujian urin mendapati empat suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Manakala, ujian urin ke atas suspek perempuan berusia 19 tahun negatif. Kes ini diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Negeri Sembilan," katanya lagi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (3) ADB 1952 dan Seksyen 6 ADB 1952.


0 comments:

share2