Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 19, 2017

BANTAH PROJEK TANBAK LAUT


Bantah projek tambak laut


Bayan Baru - Penduduk Pangsapuri Baystar di sini masih tidak berpuas hati dengan kerja penambakan laut yang dijalankan di bahagian belakang kediaman mereka.

Mereka mendakwa, projek tidak mendapat persetujuan penduduk sejak tahun lalu bagi membangunkan kondominium terdiri dari 2,000 unit rumah.

Penduduk Pangsapuri Baystar, C Sucitra berkata, setiap hari, dia terpaksa menutup tingkap rumahnya dengan langsir bagi mengelakkan habuk masuk ke rumah.

"Saya menetap di pangsapuri ini sejak dua tahun lalu tapi mula berasa tidak selesa sejak projek itu dijalankan.

“Masalah kami sekarang adalah bunyi bising dan habuk. Saya dan anak-anak kerap mengalami batuk-batuk kerana kediaman saya berhadapan tapak projek.

“Persoalannya, adakah ini yang dimahukan kerajaan negeri? Mereka sering mengatakan Pulau Pinang bersih dan hijau. Tetapi mengapa meluluskan projek seperti ini? Jelas ia bukan menghijaukan lagi, tetapi memusnahkan alam sekitar. Saya mohon pihak berkuasa prihatin dengan isu ini,” katanya, semalam.

Menurutnya, sebelum ini, penduduk di kawasan itu telah membuat bantahan dan aduan namun tiada maklum balas dari pihak berkuasa dan kerajaan negeri.

Sementara itu, S Geeta berkata, kali terakhir pihaknya membuat aduan di laman web Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), e-aduan MBPP adalah pada 14 Januari lalu.

"Sehingga kini, tiada maklum balas dari kerajaan negeri mahupun MBPP.

“Sebelum ini, mereka minta penduduk buat aduan secara formal dan ikut prosedur. Kita dah ikut, tetapi mengapa masih tiada maklum balas dari mereka? Penduduk terseksa dengan bunyi bising dan habuk, tetapi masalah ini tidak pernah diambil peduli,” katanya.

Sementara itu, Adun Pantai Jerejak, Datuk Mohd Rashid Hasnon ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau projek berkenaan bagi memastikan pemaju mengikut syarat yang ditetapkan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, selepas menerima aduan dari penduduk, beliau mengarahkan pegawainya untuk bertemu Geeta untuk berbincang.

“Tiga minggu lepas, pegawai saya ada ke pangsapuri berkenaan untuk mengadakan dialog dengan Geeta tetapi dia seolah-olah mengelak untuk berjumpa. Isu seperti ini, mesti ada sesi dialog bagi mencari jalan penyelesaian. Saya sentiasa pantau projek ini dan kita mengambil berat setiap aduan dibuat.

“Memang benar projek ini mendapat kebenaran melanjutkan tempoh menjalankan kerja sehingga 11 malam dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa. Namun, jika mereka dibuktikan gagal mengikut syarat berkenaan, kebenaran lanjutan itu akan ditarik semula," katanya.

"Walau bagaimanapun, kita akan jalankan pemeriksaan dari masa ke semasa,” katanya.


0 comments:

share2