Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 26, 2017

[TEMERLOH] TIDAK SANGGUP LAGI HADAPI KERUGIAN


Tidak sanggup lagi hadapi kerugian


Pengusaha ikan sangkar di daerah ini terpaksa menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli peralatan menguatkan sangkar sebagai persediaan berdepan peningkatan paras air Sungai Pahang yang meningkat mendadak sejak kelmarin.

Kebanyakkan pengusaha biasanya membeli kelengkapan utama seperti tali dan kabel besi pengikat untuk memastikan sangkar mereka selamat daripada dihanyutkan arus deras.

Penternak ikan sangkar, Amirudin Mat Aris, 43, berkata, dia tidak sanggup lagi menanggung kerugian akibat sangkar ikannya di Kampung Pengkalan Manggis, di sini, dihanyutkan banjir seperti dialami pada tahun 2013.

Menurutnya, kejadian yang berlaku ketika itu menyebabkan dia dan rakannya kerugian RM250,000 apabila 36 sangkar ikan dihanyutkan.

“Persediaan kami biasanya menambah tali pengikat supaya sangkar lebih kuat. Biasanya tali ibu sudah dipasang sejak awal lagi tapi untuk air besar, kami tambah tali pengikat di tepi supaya sangkar lebih kukuh,” katanya.

Amirudin berkata, kos untuk membuat sebuah sangkar kosong tanpa anak benih ikan dan makanan ketika ini mencecah RM4,000 menyebabkan dia tidak sanggup lagi kehilangan sangkar ikan yang menjadi mata pencarian utamanya.

Menurutnya, ketika ini dia bersama rakannya bergantung hidup dengan hasil menternak ikan patin dan tilapia dalam 40 sangkar yang mampu memuatkan 60,000 ikan.

Sementara itu Syed Hassan Syed Agil, 55, berkata, hatinya tidak tenteram sekiranya air belum surut.

Menurutnya, keadaan Sungai Pahang sehingga petang semalam masih menunjukkan peningkatan dan selagi air masih naik dia tidak senang duduk.

“Memang kita takut air sedang naik tapi air surut pun kita risau juga sebab takut sangkar ikan tersadai.

“Bagi memastikan tali ikatan sangkar kukuh, saya habiskan duit lebih RM1,000 untuk beli tali lebih. Harap air tak naik lagi dan kalau boleh segera surut,” katanya.


0 comments:

share2