Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 27, 2017

MINUMAN GUNA LOGO KEPALA HARIMAU DIRAGUI


Minuman guna logo kepala harimau diragui


Kuala Terengganu - Sejenis minuman ringan menggunakan logo kepala harimau yang dijual secara terbuka sejak kebelakangan ini, mendatangkan kebimbangan kerana didapati majoriti pembeli adalah pengguna Islam.

Minuman yang dijual secara berleluasa hari ini di kedai runcit sekitar bandar raya di sini, mengundang tanda tanya orang ramai dengan ‘status’ minuman tersebut sama ada halal bagi umat Islam atau sebaliknya.

Disebabkan penggunaan logo kepala harimau pada botol minuman yang dijual dengan harga RM2.50 itu menyebabkan segelintir masyarakat bimbang sekiranya ia tersenarai antara minuman yang memabukkan dan sekali gus haram diminum oleh pengguna Islam.

Dalam masa sama, minuman yang dilihat menjadi ketagihan golongan remaja termasuk pelajar sekolah hari ini turut mengusarkan para ibu bapa kerana ‘status’ sebenar minuman itu yang masih diragui.

Seterusnya, orang ramai memohon pihak berkuasa melakukan ‘sesuatu’ bagi menyelesaikan permasalahan ini kerana bimbang sekiranya tidak ditangani boleh mengundang masalah sosial dalam kalangan masyarakat terutamanya umat Islam.

Selain itu, seandainya minuman tersebut disahkan mengandungi alkohol yang memabukkan, orang ramai meminta agar tindakan tegas diambil kepada pemilik premis yang menjual minuman keras itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima beberapa aduan berhubung penjualan minuman yang meragukan secara berleluasa di kedai runcit sekitar bandar raya, di sini.

“Memang kami menerima aduan daripada orang ramai memaklumkan minuman yang menggunakan logo kepala harimau dipercayai sejenis arak telah dijual secara terbuka dan majoriti pembelinya adalah umat Islam.

“Malah, kami telah pun menghantar sampel air minuman yang dimaksudkan ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis,” katanya.

Wan Mohd berkata, keputusan yang diterima mengesahkan minuman itu tidak mengandungi alkohol dan statusnya adalah halal.

Jelasnya Wan Mohd, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan kepada penjual dan pembeli kerana minuman tersebut tidak memabukkan.


0 comments:

share2