Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 13, 2017

‘KITA TAK NAK MINTA APA-APA'


‘Kita tak nak minta apa-apa’


Pasir Gudang - Anak mangsa langgar lari kesal dengan tindakan pemandu yang tidak bertanggungjawab meninggalkan bapanya terbaring sendirian selepas terbabit kemalangan di Taman Mount Austin kira-kira jam 5 pagi, kelmarin.

Anak sulung mangsa, Siti Salwa Endrus, 41, berkata, pemandu berkenaan perlu tampil memohon maaf kepada keluarga yang telah kehilangan insan kesayangan buat selama-lamanya.

Menurutnya, sehingga semalam pemandu yang disyaki memandu MPV jenis Toyota Alphard masih belum tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

“Nak marah pun tak guna mungkin dia tak ada niat nak langgar tapi saya kesal dia tidak berperikemanusiaan kerana meninggalkan bapa saya macam tu saja.

“Kita tak nak minta apa-apa tapi tolong tampil minta maaf pada kami kerana kita nak arwah pergi dengan tenang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, isteri mangsa, Wan Jamilah Ahmad, 69, berkata, arwah suaminya melewati hari-hari kebelakangan ini dengan bersendirian.

Menurutnya, arwah suaminya ulang-alik dari rumah di Taman Johor Jaya ke tempat kerja di Taman Daya setiap jam 5.30 pagi dengan menunggang motosikal.

“Makcik terkejut sebaik dihubungi majikannya kerana suami belum sampai ke tempat kerja walaupun sudah 6.30 pagi.

“Rupa-rupanya perubahan sikap yang tak macam hari-hari biasa petanda arwah nak tinggalkan makcik buat selamanya,” katanya sebak.

Arwah Endrus Abd Manap, 67, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa, semalam.


0 comments:

share2