Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 22, 2016

TEMPOH MORATORIUM PERLOMBONGAN BAUKSIT DILANJUTKAN


Bauksit


Tempoh moratorium terhadap aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang, yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember ini, dilanjutkan tiga bulan lagi sehingga 31 Mac tahun depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, lanjutan tempoh moratorium kali keempat itu dipersetujui Kabinet semalam bagi membolehkan sejumlah 2.95 juta tan stok simpanan bauksit dibawa keluar.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini, Wan Junaidi berharap lanjutan itu akan membolehkan pengosongan bauksit dalam stok simpanan sedia ada dilaksanakan secara terkawal.

"Kegagalan proses pengosongan stok simpanan bauksit ini yang kebanyakannya di kawasan Felda Bukit Goh dalam tempoh ditetapkan disebabkan ketidakupayaan pengusaha untuk mematuhi syarat bagi pemindahan bauksit ke Pelabuhan Kuantan," katanya.

Pada 15 Januari lepas, Wan Junaidi mengumumkan keputusan Kabinet melaksanakan moratorium terhadap perlombongan bauksit di Kuantan dan setakat ini, tempoh berkenaan telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum dijadualkan berakhir tahun ini.

Menurutnya, Kuantan Port Consortium (KPC) juga sudah menjalankan penambahbaikan yang menyeluruh terhadap kemudahan Pelabuhan Kuantan supaya sesuai bagi aktiviti pengeksportan bauksit.

Selepas 11 bulan moratorium berkuat kuasa, pelbagai penambahbaikan dilaksana termasuk pembinaan transit bagi stok simpanan bauksit berbumbung, dua tempat saringan pembersihan, kaedah pemunggahan teratur dan sistem saliran yang baik, kata Wan Junaidi.

"Sejak tempoh moratorium dilaksanakan kita sudah eksport 5.2 juta tan metrik bauksit. Sebelum bermula (moratorium), ada simpanan stok bauksit lima juta tan metrik," katanya.

Walaupun isu bauksit tidak akan menjejaskan program Tahun Melawat Pahang 2017, Wan Junaidi berkata: "Pihak (kementerian) akan membawa keluar bauksit secara berperingkat, iaitu meminta mana-mana syarikat yang boleh mematuhi semua peraturan kementerian untuk membawa keluar baki bauksit sekiranya ada.

"KPC telah melabur RM30 juta bagi membersihkan sisa bauksit di kawasan pelabuhan," katanya.

Wan Junaidi juga berkata, Kabinet telah bersetuju agar pembayaran royalti bauksit dijelaskan sebelum permit import (AP) bauksit dikeluarkan bagi mengelakkan ketirisan royalti yang dialami kerajaan negeri Pahang.

"Kerajaan negeri maklum dalam penilaian mereka sepatutnya boleh mengutip RM180 juta royalti, tetapi hanya peroleh RM50 juta, bermaksud ada yang eksport tanpa bayar. Kita tetapkan mereka bayar dahulu.

"Kita akui ada kelemahan di situ dan saya sudah bincang dengan Ketua Setiausaha kementerian untuk mengatasi isu ini. Saya akan tetapkan satu peraturan, sesiapa yang meminta AP, perlu bayar royalti sebagai bayaran 'upfront'," katanya.


0 comments:

share2