Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 4, 2016

RUU 355 BUKAN PINTU BELAKANG LAKSANA HUDUD - AHMAD ZAHID





Kuala Lumpur - Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi memperkasa Mahkamah Syariah (RUU 355) tidak sama sekali akan dijadikan pintu belakang ke arah melaksanakan hudud sebagaimana dendangan parti pembangkang DAP, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“RUU 355 bukanlah hudud sebagaimana didakwa. Ramai sahabat-sabahat saya yang bukan Islam bimbang bahawa RUU 355 akan memberi kesan secara tidak langsung kepada mereka,” katanya.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden itu menjelaskan bahawa RUU 355 itu tidak terpakai sama sekali kepada orang bukan Islam dan mereka tidak boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah.

Ini kerana, katanya, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam dan RUU 355, Seksyen 2 juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam teks ucapannya yang diedarkan kepada media bagi menjelaskan RUU 355 selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini semalam.

Ahmad Zahid meminta parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak lagi terpengaruh dengan skrip pembangkang seperti DAP yang akan menolak apa sahaja perkara baik yang cuba dilakukan orang Melayu walaupun untuk kebaikan bersama.

Beliau berkata semua parti komponen perlu memainkan peranan lebih positif membantu masyarakat Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan dan kaum lain untuk menyedarkan mereka daripada berterusan ditipu petualang, DAP.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyifatkan DAP sebagai parti yang berjaya menipu orang bukan Melayu, selain mengamalkan seni politik bermuka-muka yang mengelirukan banyak pihak.

Beliau yang merupakan Ketua Whip BN akan segera mengadakan pertemuan dengan semua anggota Parlimen bukan Islam untuk memberi penjelasan menerusi Jawatankuasa Pemilihan yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

“Bagi Anggota Parlimen pembangkang yang beragama Islam, yang tegar memulau usaha murni ini, biarlah mereka dengan dunia mereka,” katanya.

Ahmad Zahid berkata penjelasan juga akan diberikan kepada masyarakat bukan Islam agar kekeliruan itu dapat diperbetulkan.

“Usahlah risau, usahlah takut. RUU 355 tidak sama sekali menyentuh kepentingan dan kedudukan anda semua,” katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat pada 24 Nov lepas.

Ia bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355.


0 comments:

share2