Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 28, 2016

[ROMPIN] BERMULA DENGAN DOKTOR TELEFON JALANAN


Bermula dengan doktor telefon jalanan


Bermula dengan membuka kedai membaiki telefon bimbit yang menyasarkan pelanggan daripada kalangan penduduk kampung sahaja, kini mula berjinak-jinak sebagai ‘doktor telefon jalanan’.

Penduduk Kampung Pianggu, Ahmad Radzuan Hafiz R Asman, 23, berkata, idea itu lahir selepas melihat tiada lagi tukang baiki telefon bimbit yang buka meja menawarkan servis itu di tepi jalan kerana kebiasaannya di kedai.

Beliau yang telah bergiat dalam kerjaya itu sejak dua tahun lalu berkata, kaedah perniagaan yang baru dilakukannya sebulan lalu itu mendapat sambutan yang sangat baik dan telah meningkatkan pendapatannya.

Menurutnya, kaedah itu turut ada kekangannya kerana peralatan membaiki yang terhad untuk dibawa bersama, jadi hanya kerosakan kecil boleh dibaiki terus manakala kerosakan major perlu dibaiki di kedai dan pelanggan boleh ambil pada Sabtu berikutnya.

“Sekarang masa saya nak cuba buat benda pelik, saya tengok tiada lagi orang buat buka bonet kereta, buka meja, payung dan tawarkan servis baiki telefon bimbit, selepas sebulan perkembangannya sangat positif.

“Ada fikir nak buat setiap hari tapi tak boleh sebab perlu fokus pada kedai juga, sekarang saya hanya buat setiap hari Sabtu di Mersing, Johor, dan tak sangka sangat sambutan yang diberikan oleh penduduk di sana begitu baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Kempen Kesedaran Empower ECER dan Penyerahan Bantuan Peralatan oleh Teraju di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin, semalam yang dirasmikan oleh Exco Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain.

Jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM71,964 diagihkan kepada 13 peserta Empower ECER Rompin yang terpilih selepas membuat permohonan sebelum ini bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Ahmad Radzuan Hafiz yang juga merupakan pelatih cemerlang Empower ECER Rompin yang diumumkan pada majlis graduasi pada Ogos lalu itu kini turut berhasrat membuka cawangan kedainya di pekan Tanjung Gemok dalam usaha melebarkan sayap perniagaannya.

“Kedai di kampung tetap kekal kerana itu untuk masyarakat kampung yang selama ini banyak menyokong saya dan memang berharap juga dapat kedai baharu di pekan kerana di sana ramai juga yang memerlukan perkhidmatan saya,” katanya.


0 comments:

share2