Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 16, 2016

[ROMPIN] 14 JAM SIMPAN MAYAT BAYI, BAWA PERGI KERJA


14 jam simpan mayat bayi, bawa pergi kerja


Seorang lelaki sanggup menyimpan mayat bayi yang dilahirkan oleh teman wanitanya selama 14 jam sambil membawanya menaiki motosikal untuk ke tempat kerja di sebuah kedai runcit, di sini, semalam.

Suspek yang panik dan tidak tahu untuk membuat apa-apa akhirnya mengadu hal itu kepada seorang bekas gurunya ketika bersekolah dan dia dibawa ke Balai Polis Rompin pada jam 10 malam untuk membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, suspek, 20, mendakwa telah menemui mayat bayi itu ketika sedang mencari tempat memancing di Empangan Sepayang sekitar jam 8 pagi, semalam.

Bagaimanapun dakwaan itu nyata tidak benar selepas sepasukan polis melakukan siasatan lanjut ke atas pengadu dan mendapati bahawa bayi tersebut diambil dari rumah teman wanitanya yag berumur 18, di Pontian Jaya.

“Pengadu yang juga merupakan suspek berasa panik selepas menemui bayi itu pada pada jam 8 pagi semalam dan terus membawanya ke tempat kerja dan lain-lain tempat sehinggalah dia ke Balai Polis Rompin sekitar 9.45 malam tadi untuk membuat laporan polis.

“Hasil siasatan ke atasnya telah membongkar kisah bayi itu dilahirkan, usaha untuk mengesan teman wanitanya telah diaturkan selepas mendapat maklumat dan berjaya ditangkap di hadapan sebuah kedai di Bandar Baru Rompin sekitar jam 11.10 malam tadi,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Aidil berkata, hasil siasatan polis, wanita itu akhirnya mengaku pada Rabu lalu dia telah menggugurkan anaknya itu dengan cara memakan ubat gugur yang dibeli secara online berharga RM500.

Menurut beliau lagi, pada jam 2 pagi tadi sepasukan polis dengan dipandu arah oleh suspek (pengadu) telah pergi ke Jalan Seri Sepakat 1, Kuala Rompin dan merampas sehelai kain batik yang dijumpai dalam karung plastik dalam tong sampah.

“Pada jam 2.30 pagi, polis turut menangkap seorang lelaki yang bersangkut kes ini di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pantai 7, Tanjung Gemok yang turut gagal mengemukakan dokumen diri semasa pemeriksaan dijalankan," katanya.

Mayat bayi dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.


0 comments:

share2