Lebih 40 tahun tinggal di pinggir Kampung Kuala Keloi membuatkan penduduk di sini cukup ‘faham’ dengan keadaan cuaca semasa termasuk langkah berjaga-jaga ketika tibanya musim tengkujuh.
Bagi Joh Awang Lah, 71, musim hujan adalah musim bagi mereka lebih peka dengan persekitaran terutamanya peningkatan paras air sungai.
Menurutnya, mereka akan bersiap sedia untuk berpindah ke balai raya kampung jika paras air naik dan menerima arahan supaya berpindah oleh pihak berkuasa.
“Kali terakhir kami berpindah ialah pada hujung tahun 2014 kerana paras air sungai naik sehingga bahagian bawah rumah dan dapur ditenggelami air.
“Pertama kali pindah masa banjir besar tahun 1970 ke 1971, masa tu makcik baru ada anak tiga orang (semua tujuh orang). Memang teruk masa tu sebab rumah lama tenggelam terus dan roboh sebelah sebab kayu balak langgar,” katanya di sini.
Menurutnya, ketika itu dia tinggal di pusat pemindahan (balai raya) bersama arwah suami dan anak-anak selama lebih sebulan.
“Itulah tahun paling teruk, selepas pada tu ada lah banjir besar macam tahun 2007 dan makcik pindah juga lah ke balai raya lebih dua minggu sebab air sungai naik tinggi.
“Jadi, setiap hujung tahun makcik dan anak-anak yang tinggal serumah ni memang berjaga-jaga bila hujan lebat sampai dua ke tiga hari, takut air baik tiba-tiba tengah malam,” katanya. Sementara itu, Raja Ibrahim Raja Salleh, 34, berkata, penduduk kampung selalu perhati paras air Sungai Dong yang terletak berhampiran rumah.
“Bila nampak air makin keruh kita dah mula berjaga-jaga, paras air pun selalunya akan meningkat terutama bila hujan turun berhari-hari.
“Biasanya barang-barang dikemas dan diletak tempat tinggi, termasuk simpan dokumen penting di tempat khusus supaya senang nak ambil kalau kena pindah secara tiba-tiba.
“Persediaan memang penting bagi penduduk yang tinggal di kawasan berisiko ini, tapi lebih penting tahap keselamatan terutama warga emas dan OKU yang sentiasa perlu diberi perhatian dan bantuan,” katanya.
Menurutnya, kerjasama pihak berkuasa termasuk agensi penyelamat banyak membantu menyelamatkan nyawa dan harta benda ketika banjir di kampung itu.
0 comments:
Post a Comment