Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 21, 2016

[RAUB] PENDUDUK MOHON BINA PENCAWANG SEGERA


Penduduk mohon bina pencawang segera


Muak dengan masalah talian komunikasi swasta yang dihadapi, penduduk Kampung Kuala Keloi tampil meminta pihak bertanggungjawab menyegerakan pembinaan cawangan di kampung mereka.

Seorang penduduk, Rokidah Mat Deli, 52, berkata, meskipun masalah pernah disiarkan dalam akhbar pada tahun lalu, namun masih belum ada penyelesaian yang dilakukan oleh pihak berkenaan.

“Kami hanya bergantung dengan talian komunikasi ini saja. Kebanyakan talian rumah penduduk kampung ni dah dipotong sebab mereka rasa guna telefon bimbit lagi senang.

“Keadaan ini betul-betul menyukarkan kehidupan seharian kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya lagi, baru-baru ini berlaku kejadian terputus bekalan elektrik selama beberapa hari sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.

“Bayangkanlah kalau berlaku kejadian tak diingini, macamana kami nak berhubung dengan pihak berkuasa,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Salbiah Talib, 49, turut akui gangguan talian telekomunikasi turut menyebabkan perkhidmatan internet terganggu.

“Sekarang ini dahlah musim cuti sekolah. Anak-anak balik kampung merungut tak dapat guna talian internet yang ‘tenggelam timbul’. Ada juga yang dah bayar bil talian selama sebulan dan rasa mereka rugi.

“Penduduk kampung juga terpaksa tanggung malu bila orang luar datang dan beritahu kampung ni tak ada talian telefon sedangkan mereka ada,” katanya.

Maklumat, berita tidak sampai

Bagi penduduk, Raja Ibrahim Raja Salleh, 34, pula, ketiadaan talian komunikasi menyukarkan penduduk kampung memaklumkan kejadian-kejadian penting yang berlaku di kampung terbabit.

“Memang susah sebab kami tak dapat nak beritahu sedara mara kalau ada berlaku kematian atau nak jemput ke kenduri kahwin dan sebagainya.

“Saudara mara kami yang di perantauan pun tak dapat nak hubungi kami. Lagipun rata-rata penduduk kampung ini dah tak guna telefon rumah,” katanya.

Turut menerima kesan dari ketiadaan talian komunikasi swasta yang satu-satunya wujud di kampung terbabit ialah ialah sekitar 300 penduduk perkampungan Orang Asli Sungai Yol.

Penduduk kampung Orang Asli terbabit, Medan Mat Sin, 42, berkata, tidak akan timbul isu terbabit jika masalah itu hanya memakan masa dua atau tiga hari.

“Setakat dua atau tiga hari kita boleh terima, ini dah lebih dua bulan. Orang berniaga pun tak dapat jalankan perniagaan mereka kerana tak dapat hubungi pemborong.

“Saya tak faham kenapa begitu lama masa diambil untuk baik pulih keadaan. Selain itu tak ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak syarikat terbabit tentang masalah ini dan sampai bila ia akan diselesaikan,” katanya.

Sudah lali disoal penduduk

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Kampung (JKKK) Kuala Keloi, Mohd Azam Abdullah mengakui masalah berkenaan menyebabkan dia sudah lali disoal penduduk.

“Kehidupan kami penduduk kampung di sini memang sukar dengan satu-satunya talian komunikasi swasta yang berfungsi namun ada kalanya kerap tenggelam timbul.

“Keadaan ini bukanlah pertama kali berlaku malah sebelum ini juga ia memakan masa berbulan-bulan untuk kembali pulih dan lancar. Kami harap syarikat berkenaan segerakan pembinaan cawangan talian di kampung ini dan tidak hanya berharap pada pencawang di kampung bersebelahan sahaja,” katanya.

Tambahnya lagi, mewakili penduduk kampung dia juga berharap agar pihak berwajib memaklumkan kepada pemimpin setempat sekiranya berlaku kerosakan lagi selepas ini.

Kata beliau lagi, aduan ini penting kepada mereka kerana tanpa talian komunikasi yang baik agak sukar untuk mereka berhubung dengan orang luar terutama jika berlaku kematian atau kejadian kecemasan seperi kemalangan mahupun aduan-aduan lain.


0 comments:

share2