Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 21, 2016

PENANTIAN 13 TAHUN BERBALOI


Penantian 13 tahun berbaloi


Penantian 13 tahun graduan orang kelainan upaya (OKU) untuk menggenggam segulung ijazah akhirnya tercapai apabila Mazira Alias, 30, menerima Ijazah Sarjana Muda Kaunseling yang disampaikan Pro-Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tan Sri Samsudin Osman.

Berasal dari Sungai Tong, Setiu, Mazira dikategorikan sebagai OKU akibat kemalangan yang menyebabkannya kehilangan empat jari tangan kanan.

Selain menggalas tanggungjawab sebagai pelajar, Mazira juga merupakan tulang belakang kepada keluarga dalam mencari rezeki dengan bekerja sambilan menjual air tebu dan pisang goreng sepanjang tempoh pengajiannya kerana ibu hanya berkebun secara kecil-kecilan manakala ayah tiri uzur dan tidak mampu melakukan kerja-kerja berat.

Walaupun mendapat bantuan Tabung Zakat UMT, namun Mazira dianggap pelajar 'Superwoman' yang rajin dan gigih mencari pendapatan tambahan demi menampung perbelanjaan diri dan keluarga tanpa mengabaikan pengajiannya.

Antara kerja yang pernah dilakukan selain berniaga makanan ialah menyapu sampah, mengutip tin dan botol terpakai dan bekerja di kedai dobi.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, Mazira adalah contoh dan inspirasi kepada penuntut lain termasuk warga OKU. Ini kerana, walaupun dihimpit kesempitan hidup, dia tidak pernah berputus asa mencuba dan kekurangan fizikal serta umur bukanlah penghalang untuk berjaya di menara gading.

Seramai 2,806 graduan UMT diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-14 UMT, baru-baru ini. 31 graduan dianugerahkan Doktor Falsafah, 133 graduan dianugerahkan Sarjana, 2,396 graduan menerima Sarjana Muda dan seramai 245 graduan menerima Diploma masing-masing pada tahun ini.

Terima ijazah serentak

Kejayaan menggenggam ijazah Sarjana di universiti yang sama adalah kenangan manis dan berharga buat graduan Nik Mohd Hafiz Abdullah dan isteri, Ainatun Nadrah Zulkefli, 27, dalam bidang masing-masing.

Minat mendalam terhadap alam ciptaan Tuhan, sifat ingin tahu yang tinggi terhadap ilmu baharu membuatkan Nik Mohd Hafiz, 31, meneruskan pengajian beliau bermula dengan Diploma Perikanan, kemudian ijazah Sarjana Muda Sains Biologi dan kini menamatkan pengajian ijazah Sarjana Sains Bioteknologi secara penyelidikan, kesemuanya di UMT dengan memfokuskan kepada penyelidikan haiwan marin belangkas.

Bagi Ainatun, tugas sebagai suri rumah sepenuh masa dan pada masa sama sebagai penuntut ijazah Sarjana Sains Biokimia secara penyelidikan, tidak menghalangnya meneruskan pengajian berikutan suami amat memahami dan ringan tulang dalam membantu menguruskan urusan rumah tangga mahupun berkongsi ilmu dalam menyudahkan pengajian.

Nik Mohd Hafiz yang kini bertugas sebagai Pegawai Sains di Makmal Berpusat, UMT mendedikasikan kejayaannya dan isteri buat anak tersayang, Nik Nur Zhafira Azzahra, berusia lima bulan juga buat keluarga masing-masing.


0 comments:

share2