Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah prihatin dengan masalah dihadapi pengamal media di negeri ini apabila baginda tampil menghulurkan sumbangan peribadinya kepada Wartawan Sinar Harian, Mohd Ridzuan Abu Hassan, 30, yang kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat jangkitan di mata kanan.
Mohd Ridzuan yang menerima rawatan di hospital itu sejak 11 hari lalu menerima sumbangan berkenaan melalui Penolong Pengurus Besar Yayasan Istana Abdul Aziz, Abdul Rahim Othman yang mewakili baginda, semalam.
Abdul Rahim berkata, sumbangan itu tanda keprihatinan baginda terhadap pengamal media di negeri ini yang berdepan masalah selain dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh mereka yang berdepan situasi sebegitu.
Sementara itu, Mohd Ridzuan yang mula bertugas di Sinar Harian sejak 2008 hingga kini berkata, dia menyedari masalah pada matanya itu pada 12 Disember lalu ketika bangun dari tidur dan mendapati mata kanannya tidak dapat dibuka.
“Dalam anak mata terdapat ulser menyebabkan ia bernanah bagaimanapun keadaannya semakin baik dan masih menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak hospital. Jangkitan mungkin daripada pemakaian kanta pelekap.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan baginda (Tengku Abdullah) yang membantu dan sumbangan ini dapat digunakan sepanjang proses rawatan,” katanya.
Dia turut menghargai kunjungan dan bantuan rakan-rakan serta beberapa pihak lain sepanjang berada di hospital tersebut, beliau mengakui turut tidak sabar untuk kembali bertugas.
0 comments:
Post a Comment