Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 18, 2016

[KUANTAN] HANYA GUNA BAHASA ISYARAT, TULISAN


Hanya guna bahasa isyarat, tulisan


Kecacatan pendengaran yang dialami sejak dilahirkan tidak sesekali menjadi batu penghalang buat Alif Najmi Bahari, 21, untuk cemerlang dalam pengajian.

Kesungguhannya menimba ilmu sepanjang menuntut Kolej Yayasan Pahang (KYP) di sini, membuahkan hasil apabila terpilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Menteri Besar sempena Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia kolej itu, semalam.

Kekurangan yang dialami membuatkan anak kedua kepada pasangan Bahari Ahmad dan Faridah Mohd Sidek itu, sentiasa mencabar dirinya untuk bersama-sama rakan seperjuangan sepanjang tempoh pengajian.

Ternyata kesungguhan yang ditunjukkan graduan Diploma Grafik dan Reka Bentuk Multimedia itu berbaloi apabila sentiasa memperoleh Anugerah Dekan sepanjang enam semester pengajian sehingga melayakkannya menerima anugerah tertinggi itu.

Berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan melalui tulisan tangan bukanlah satu kesukaran buat Alif kerana itulah caranya untuk ‘bercakap’ dengan rakan-rakan dan pensyarah.

Menurutnya, pada peringkat permulaan pengajian, dia mengakui mengalami sedikit tekanan kerana bimbang tidak mampu mengharungi cabaran sebagai mahasiswa.

“Bagaimana pun, sangkaan saya meleset apabila saya mendapat bantuan dan sokongan daripada rakan-rakan, pensyarah dan pastinya ibu bapa yang tidak pernah jemu memberi semangat.

“Lama-kelamaan saya semakin selesa berada di dalam bilik kuliah bersama kawan-kawan. Walaupun bahasa isyarat dan tulisan tangan menjadi penghubung namun itu bukan halangan,” katanya.

Dia ditemui pada Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia Kolej Yayasan Pahang (KYP) yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Dewan Jubli Perak, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan KYP, Datuk Norhishamudin Yaakob.

Alif Najmi yang kini melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Universiti Kuala Lumpur memperoleh keputusan cemerlang 4.00 setiap semester dan tamat pengajian dengan Gred Purata Kumulatif (CGPA) 3.91.

Katanya, dia bercita-cita bergelar pereka laman web selepas tamat pengajian kelak kerana begitu meminati bidang berkenaan sejak kecil.

“Saya syukur di atas kejayaan ini. Terima kasih kepada ibu bapa, rakan-rakan dan pensyarah yang banyak membantu saya sepanjang pengajian.

"Jasa semua pihak tidak mampu saya balas. Segala bantuan yang diberikan amat bermakna buat saya,” katanya.

Alif Najmi membawa pulang wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Rakan baiknya, Nazrul Naim Mohd Lasi, 22, sanggup belajar bahasa isyarat semata-mata untuk memudahkan mereka berkomunikasi.

Nazrul berkata, dia mengambil masa hampir setahun untuk fasih berbahasa isyarat dan gembira dapat membantu Alif Najmi ketika di kampus.


0 comments:

share2