Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 10, 2016

JALAN GELAP, PENGGUNA KELIRU


Jalan gelap, pengguna keliru


Pagoh - Lebih 1,000 pengguna Jalan Muar-Pagoh berhampiran Taman Pagoh Jaya, di sini, terdedah risiko bahaya terutama pada waktu malam apabila laluan berkenaan didakwa tidak mempunyai lampu jalan sepanjang hampir satu kilometer.

Lebih membimbangkan, jalan berkenaan turut terlibat dalam kerja-kerja naik taraf menyebabkan pengguna terutama mereka yang jarang menggunakan laluan berkenaan boleh keliru.

Pemandu, Nur Aina Syafiqa Md Tahir, 28, berkata, dia sering menggunakan jalan berkenaan untuk ke tempat kerja dan masalah itu sudah berlarutan sejak lebih setahun lalu.

“Bagi pengguna seperti saya, mungkin dah boleh agak keadaan jalan, cuma waktu malam risiko bahaya itu memang sangat tinggi sebab tak nampak apa-apa.

“Tapi yang lebih menakutkan apabila berhadapan dengan pemandu yang tidak biasa melalui jalan ini. Kita boleh nampak mereka memandu dengan laju dan apabila tiba di kawasan ini, pemanduan mereka mulai sedikit tersasar,” katanya.

Menurut Nur Aina, lokasi jalan berhampiran laluan keluar Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di plaza tol Pagoh itu menyebabkan ramai pemandu asing tidak menyedari keadaan bahaya di laluan berkenaan.

“Mungkin jika disediakan lampu jalan di sini, pemandu luar dapat lihat keadaan jalan ini dari jauh lagi. Sekarang mereka hanya perasan keadaan jalan apabila sudah berada pada jarak dekat,” katanya.

Tambahnya, kontraktor yang menjalankan projek di situ pula hanya meletakkan kon sebagai pembahagi jalan tanpa lampu tunjuk arah.

Katanya, pengguna faham jalan itu dalam pembinaan, namun berharap ia dilengkapi lampu terutama di pembahagi jalan bagi mengelak kekeliruan hingga ada pengguna masuk ke laluan bertentangan.

“Ia bukan saja membahayakan pelancong malah penduduk Muar yang hanya pulang pada musim perayaan kerana jalan itu sentiasa berubah.

“Malah, selain penduduk Taman Pagoh Jaya, pekerja di industri Pagoh yang ingin ke Muar juga terdedah bahaya kerana kereta yang melalui kawasan itu dipandu laju,” katanya.

Bagi penduduk berhampiran, Wan Nor Aisyah Selamat, 50, dia mengakui walaupun belum pernah berlaku perkara tidak diingini, keselamatan di laluan berkenaan perlu diberi perhatian.

“Paling merbahaya penunggang motosikal sebab jalan gelap. Lampu motosikal bukan terang sangat nak nampak semua. Jadi mereka terpaksa lalu jalan ini dengan berhati-hati. Tapi yang susah bila pemandu kereta memandu laju.

“Kalau keadaan di sini terang, mungkin penunggang motosikal berasa lebih selamat selain pemandu kereta juga mudah untuk melihat kelibat mereka,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamaludin A Hamid berkata, pihaknya maklum keadaan itu dan akan mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

Katanya, sekiranya ia di bawah kendalian MPM, pihaknya akan menyediakan lampu untuk menerangi kawasan itu. 

“Mungkin ia di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pemaju perumahan kerana berada di depan perumahan. Kami akan kenal pasti pihak bertanggungjawab dan akan minta mereka menyediakan lampu untuk keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya.


0 comments:

share2