Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 26, 2016

PROSEDUR AMBIL ANAK ANGKAT AKAN DIPERMUDAH


anak-yatim-1


Putrajaya: Kerajaan mahu memudahkan prosedur anak angkat dan pemeliharaan bagi memudahkan rakyat Malaysia menjaga kanak-kanak yang ditinggalkan di rumah anak yatim dan mengelak risiko pembelian bayi.

Kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini berkata prosedur yang lebih mudah itu dapat mengelakkan ibu bapa yang ingin mendapatkan anak angkat daripada mengambil risiko membeli anak pada masa depan.

Kenyataan itu mengulas mengenai dokumentari Al-Jazeera yang disiarkan semalam berhubung bayi dijual dalam talian pada harga AS$1,500 (RM6,600) hingga AS$2,500 (RM11,000).

Dokumentari “Malaysia: Bayi untuk dijual” mendedahkan pemerdagangan bayi secara haram membabitkan rangkaian pengedar, doktor dan pegawai kerajaan yang mengaut keuntungan daripada wanita serta kanak-kanak.

Kementerian berkata pihaknya memandang serius isu penjualan kanak-kanak kerana ia bercanggah dengan Artikel 35 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Protokol Pilihan berkenaan penjualan kanak-kanak, pelacuran dan bahan lucah terhadap kanak-kanak.

Kenyataan itu menyatakan, mengikut Seksyen 48, Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) menetapkan sesiapa terlibat dalam pemerdangan kanak-kanak melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan maksimum 5 tahun atau kedua-duanya.

Sekiranya dibuat bagi tujuan eksploitasi seksual atau pelacuran pula, ia boleh dihukum di bawah Seksyen 43(1)(aa) Akta yang sama iaitu hukuman RM50,000 atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya.

“Dalam pindaan Akta Kanak-kanak 2001 baru-baru ini, kementerian memasukkan elemen membolehkan Malaysia melaksanakan konsep Pemeliharaan Berasaskan Keluarga (PBK).
“Konsep ini mengutamakan penjagaan kanak-kanak oleh keluarga dan menjadikan institusi sebagai pilihan terakhir kerana keluarga tempat paling baik untuk kanak-kanak membesar,” katanya.

Sehubungan itu, kementerian akan menubuhkan 2 jawatankuasa dalam masa terdekat iaitu jawatankuasa pemandu dan teknikal yang akan melibatkan pelbagai pemegang kepentingan dalam melaksanakan PBK ini.

Katanya, ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah untuk mendapatkan khidmat nasihat dan tidak memilih untuk mengambil tindakan yang melanggar undang-undang.


0 comments:

share2