Sungai Besar - Seorang penyiasat persendirian menawarkan diri bagi membantu mencari dan mengesan bekas penuntut cemerlang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Siti Aisah Selamat, 24, yang dilaporkan menghilangkan diri di bilik tidurnya, sejak pagi Selasa lalu.
Bapanya, Selamat Kasdi, 50, berkata, lelaki itu menghubunginya pagi tadi dan maklumkan ingin membantunya mengesan Siti Aisah menerusi rekod Jabatan Imigresen dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, lelaki itu menawarkan khidmat bagi membantu misteri kehilangan anak perempuannya itu selepas kali terakhir meninggalkan pesanan menerusi sepucuk surat di bilik tidur di rumah mereka di Parit 13 Sungai Panjang.
“Saya maklumkan padanya (pegawai penyiasat persendirian), kalau ada apa-apa sebarang bayaran memang saya tak mampu.
"Dia beritahu saya, soal bayaran letak di bawah. Bagaimanapun, saya ambil keputusan biarlah polis saja buat siasatan sebab tak mampu nak bayar kos upah penyiasat persendirian ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Selamat berkata, sejak kehilangan anak kedua daripada lapan beradik itu mendapat liputan meluas media, pelbagai pihak menghubunginya termasuk rakan-rakan anaknya yang masih terkejut dengan kehilangan Siti Aisah.
“Buat masa ini tiada sebarang petunjuk tentang kehilangannya. Kami masih gagal temuinya hingga ke hari ini,” katanya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan, kehilangan Siti Aisah disedari ibunya, Asnah Mat Kasa, 48, kira-kira jam 6 pagi selepas menunaikan solat Subuh, Selasa lalu.
Pelbagai usaha dibuat pihak keluarga termasuk membuat laporan polis berhubung kehilangan Siti Aisah dan mencarinya di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dan Kampar, Perak.
Siti Aisah, sebelum ini menganggur sejak kira-kira tiga bulan lalu selepas berhenti kerja di sebuah kiosk menjual minuman francais di Kampar, Perak.
Siti Aisah sepatutnya melaporkan diri untuk bertugas di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Shah Alam, esok.
0 comments:
Post a Comment