Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 26, 2016

KEZALIMAN KE ATAS ROHINYA: ANIFAH AKAN JUMPA SUU KYI


anifah-aman


Petaling Jaya: Datuk Seri Anifah Aman akan mengadakan perjumpaan dengan Kaunselor Negara dan Menteri Luar Myanmar, Aung San Suu Kyi secepat mungkin bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap keganasan ke atas etnik Rohingya di Rakhine.

Kementerian Luar juga akan memanggil duta besar Myanmar di Malaysia bagi menyuarakan kebimbangan Putrajaya itu.

“Malaysia menggesa semua pihak terbabit dalam keganasan terbaru itu mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Malaysia turut mengutuk keganasan yang tercetus di Rakhine sejak beberapa bulan lalu.

Sekurang-kurangnya 86 orang dilaporkan terbunuh, manakala kira-kira 30,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dalam pertumpahan darah paling teruk di rantau ini sejak beratus kematian berlaku dalam pergaduhan kaum pada 2012.


Di Malaysia, kira-kira 1,000 orang yang kebanyakannya etnik Rohingya dan NGO berarak sejauh 1km dari Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak ke Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir, selepas solat Jumaat hari ini, untuk membantah kezaliman Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Protes sama turut diadakan di negara jiran Thailand dan Indonesia.

Menurut laporan Bernama, beratus-ratus orang yang terdiri daripada warga Rohingya dan NGO Islam mengadakan demonstrasi aman berhampiran Kedutaan Myanmar di Bangkok, selepas solat Jumaat, bagi membantah kekejaman ke atas etnik Rohingya di negara jiran itu.

Peserta di Jakarta menggesa panel Nobel membatalkan anugerah yang diberikan kepada Suu Kyi kerana ikon demokrasi Myanmar itu membisu dan gagal bertindak untuk menghentikan “penghapusan etnik Rohingya” di Rakhine.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dilaporkan berkata, Jakarta “sedia dan rela” membantu Myanmar memulakan dialog.


0 comments:

share2