Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 14, 2016

'KAMI INGAT IKAN BESAQ'


 'Kami ingat ikan besaq'


Batu Uban - Dua sahabat kaki pancing terkejut apabila terdengar bunyi percikan air kuat ketika sedang ralit menangkap ikan di bawah Jambatan Pulau Pinang.

Beliau, Mohd Razis Othman, 28 berkata, pada waktu itu ada pemancing lain turut menjerit sambil menunjukkan sesuatu ke arah air.

"Kami ingat ikan besaq (besar), saya pun seronok dan terus bangun, setelah diteliti rupa-rupanya ada lelaki yang sedang terkapai-kapai.

"Pada waktu itu saya dan seorang lagi kawan, P. Jayakumar terus menghidupkan enjin bot, ketika sampai ke arah mangsa, kami sempat capai tangannya, jika kami lambat mungkin dia sudah tenggelam.

"Alhamdulillah, kami berjaya capai tangannya dan sewaktu berada dalam bot kami cuba menekan perutnya kerana mangsa sudah menelan air laut begitu banyak," katanya kepada Sinar Harian.

Mereka kemudiannya membawa mangsa ke Jeti Polis Marin Batu Uban.

Ceritanya lagi, itu adalah kali pertama kejadian sebegitu berlaku walaupun sudah menangkap ikan bersama Jayakumar sejak zaman persekolahan.

Jayakumar, 26 turut melahirkan rasa gembira kerana berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.

"Kejadian ini tidak menakutkan kami sebaliknya ia menjadi kenangan buat kami berdua," katanya.

Sementara itu Pengarah Maritim Daerah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Kapten Maritim Rozali Mohd Said berkata, mangsa berusia 43 tahun itu sempat diselamatkan pada jam kira-kira 1 petang di kedudukan jambatan dari arah tanah besar menghala ke kawasan pulau.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

"Jadi kami ingin nasihatkan supaya orang awam melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan dilaut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 042626146," katanya.


0 comments:

share2