Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 15, 2016

JANGAN DIPOTONG, BIARKAN TANGAN INI KEKAL BERSAMAKU...


Putra Zul Azuan


Putra Zul Azuan, 14 tahun, penghidap kanser tulang Ewing Sarcoma, tahap 4. Saya mengagumi anak ini. Saya suka memandang wajahnya yang tenang dan bening. Terlalu tenang untuk seorang anak sekecil dia dengan ujian kanser yang begitu besar.

Ibunya sendiri belajar menjadi kuat apabila melihat Putra kuat. Walaupun sudah dibekalkan morfin oleh doktor sebagai persediaan untuk mengurangkan sakit ditanggungnya, anak ini biasanya menolak mengambil morfin.

Dan jika ada sakit dialaminya pun, dia akan menanggungnya sendiri tanpa ada telinga lain mendengar rintih keluhnya mahupun melihat titis air matanya.

Putra mula didiagnosis menghidap kanser Ewing Sarcoma pada Ogos 2014. Sehingga kini, pembedahan demi pembedahan dilaluinya untuk membuang tulang yang dijangkiti kanser.

Malah, dia pernah terlantar koma selama dua minggu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah terjatuh di bilik air. Kemudiannya, tiga bulan dirawat di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk membolehkan dia kembali berjalan.

Kembali gagah berjuang

Tubuhnya hanya kecil. Mungkin sel-sel kanser dalam badannya menghalang dia berkembang sepantas usianya. Tapi jiwanya besar. Kekuatannya besar. Anugerah ALLAH pada anak ini sesungguhnya sebesar ujian yang diberi kepadanya.

Dia melalui sebahagian usianya tanpa kehadiran seorang ayah di samping, kala ibu bapanya bercerai dalam usianya empat tahun. Lalu ibunya mengajarnya untuk berdikari dan mendepani hidup dengan berani, tanpa perlu bergantung atau mengharapkan sesiapa.

Putra tidak pernah merungut atau mengaduh kesakitan. Bagaikan mengerti, inilah ujian yang telah ditentukan buat dirinya, bukan untuk sesiapa yang lain. Dia menerimanya dengan penuh terpuji, tenang dan bersahaja. Bagaikan ini hanya terjatuh dan luka.

Putra mengajar kita tentang bagaimana harus menjadi reda tanpa memberi definisi. Dia membuat demonstrasi. Malah, Putra tahu prognosis terhadapnya bahawa dia sudah tidak lagi punya rawatan.

Ketika doktor mencadangkan agar tangannya dipotong untuk mengelakkan sel kanser merebak, terutama ke jantungnya, Putra tegas membuat keputusan.

Biarkan tangannya kekal bersamanya

Doktor sendiri tidak dapat memberi sebarang jaminan. Hanya mengatakan kalau pun dibuang, risikonya tetap sama. Cuma cepat atau lambat yang membezakan.

Putra mengerti cepat atau lambat yang dimaksudkan. Anak ini sudah menyaksikan terlalu banyak. Dia tidak perlu diberi penerangan lanjut. Akur dan reda dia dengan apa pun ketentuan.

Ibunya juga sudah menerima sampul surat berisi dokumen penting. Yang bertutup, dan ber’seal’ rapat, untuk nanti dibawa ke balai polis berdekatan. Tidak perlu lagi ke hospital.

Dan bagaimana lagi boleh kita jelaskan kekuatan anak dan ibu ini? Bila mana mengumpul kekuatan mempersiapkan diri mereka untuk kemungkinan-kemungkinan yang tak terbayang dengan penuh pasrah yang luar biasa?

Kisah-kisah yang selalu menyebabkan saya berair mata. Saya tahu, jika Putra waktu ini berada di hadapan saya, saya akan malu sendiri oleh mudahnya saya tewas hanya pada sentuhan emosi. Sedang Putra diuji dari setiap sudut -fizikal, emosi, rohani dan mental. Pun begitu dia tampil penuh perkasa.

Ibunya memberitahu, tangan Putra tidak boleh diluruskan kerana keadaannya yang membengkak. Walaupun Putra tidak mengadu, tetapi naluri seorang ibu tahu anaknya itu lenguh dan amat tidak selesa dengan keadaan itu.

Ya, Putra dalam usia rebungnya, memilih untuk 'fight his own battle'. Putra yang dari kecil diajar berdikari, dan dididik untuk tidak mengeluh dan merintih atas apa pun ujian untuk dirinya.

Kerana itu, amat jarang untuk mendengar dia mengaduh walaupun pasti sakitnya itu begitu dirasakan. Putra lebih senang memilih untuk memalingkan muka dan tidak membiarkan orang lain melihat kesakitan di wajahnya.

Malah ketika di wad pun, Putra kerap bersendiri menguruskan dirinya, bila mana ibunya terpaksa bekerja. Didiagnosis ketika usianya 12 tahun, Putra selalu menjalani rawatan kemoterapi seorang diri di wad. Kala malam, barulah ibunya datang menjaganya, untuk kemudian ditinggalkan lagi keesokan paginya.

Kini, Putra dihantar ibunya ke kampung untuk tinggal sementara waktu bersama datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah, sambil berikhtiar melalui perubatan tradisional dan alternatif. Putra yang meminati bola sepak dan aktif dalam permainan itu semasa di sekolah rendah dulu, kini masih mengikuti perkembangan bola sepak walaupun hanya terlantar di katil.

Dua minggu lalu, pasukan hijau kuning Kedah membuat kunjungan menziarahi Putra di rumah datuknya. Satu kunjungan yang memberikan dia sedikit semangat meneruskan perjuangan.

Apabila saya bertanyakan ibunya, Fuziah, apa lagi yang Putra perlukan, Fuziah sukar memberi jawapan. Cuma katanya, mungkin kalau Putra dapat berbaring di katil hospital (‘manual crank bed’), yang boleh dilaraskan, akan memudahkan dia sedikit untuk bangun dan duduk. Dengan keadaan lengannya yang sudah membengkak sedemikian rupa, memang segalanya menyukarkan untuk Putra.

Jika ada yang ingin membantu Putra mendapatkan katil ini, (katil ‘second hand’, sudah saya mohon agar pemiliknya simpan untuk Putra, berharga dalam RM880), boleh sumbangkan ke akaun ibunya. Semoga sumbangan sedikit ini boleh memberikan keselesaan yang banyak untuk Putra menghadapi hari-hari seterusnya.

Selebihnya, titipkan dia doa agar dipermudahkan rawatan untuknya, serta diberikan anak istimewa ini kesembuhan dan kesejahteraan.

Sebarang sumbangan, bolehlah disalurkan menerusi Nombor Akaun Ibunya: Maybank 162647037258 Fuziah Mohd Salleh.

Penulis: Wan Shahriza Wan Ab Rahman (Pendidik di Maktab Rendah Sains Mara Kuantan, adalah Penerima Anugerah Khas (Khidmat Masyarakat) Majlis Anugerah Kecemerlangan Ko Kurikulum MRSM 2016)


0 comments:

share2