Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 16, 2016

[BENTONG] BAHAYA, TIADA PENAWAR UBATI KESAN RACUN


racun rumpai paraquat


Keputusan mesyuarat Kabinet pada April 2014 yang memutuskan mengharamkan sepenuhnya penggunaan racun rumpai paraquat di negara ini bermula 1 Januari 2020 kerana mengandungi bahan toksik yang tinggi menjawab persoalan dalam kalangan ramai petani di negara ini berhubung penggunaan racun itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Racun Perosak Jabatan Pertanian, Hafizah Mohamad berkata, racun itu sangat berbahaya kerana masih tiada penawar untuk mengubati kesan akibat keracunannya.

Menurutnya, kesan keracunannya amat tinggi dan boleh menyebabkan kekurangan antidot sehingga membawa kepada masalah kesihatan serius dan kematian.

“Kesan racun ini bukan sahaja akan dirasai apabila tersedut tetapi implikasinya boleh berlaku jika tersentuh.

“Racun ini sangat berbahaya pada tubuh badan manusia kerana ia mampu menghakis logam. Jika terminum racun ini, tiada kaedah rawatan berkesan dan berkemungkinan besar akan meninggal dunia.

“Ia turut beri kesan dalam jangka panjang seperti dermatitis teruk, kegagalan buah pinggang, kegagalan pernafasan, denyutan jantung menjadi cepat, melecur darjah kedua dan kanser kulit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar Racun Perosak di Rumah Rehat Bentong, di sini semalam.

Seminar itu dirasmikan oleh Pegawai Pertanian Daerah Temerloh, Muhamad Khalil Idris mewakili Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Mohd Anim Hosnan.

Hadir sama, Pegawai Pertanian Daerah Bentong, Norazlina Ismail.

Beliau berkata, kebanyakan negara termasuk Kesatuan Eropah sudah mengharamkan paraquat kerana bahayanya kepada kesihatan meskipun digunakan mengikut arahan.

Hafizah berkata, bagaimanapun walaupun paraquat diharamkan, terdapat alternatif racun yang lebih selamat dapat digunakan.

“Racun perosak glufosinate-ammonium dan glyphosate mempunyai sifat yang sama seperti paraquat daripada segi keberkesanan kini telah menjadi racun perosak generik.

"Kami melakukan kajian bersama Mardi, Lembaga Koko Malaysia, Lembaga Getah Malaysia dan MPOB menunjukkan glufosinate-ammonium dan glyphosate adalah racun perosak alternatif lebih selamat digunakan berbanding paraquat,” katanya.


0 comments:

share2