Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 15, 2016

RUNTUHAN JALAN AKIBAT KENDERAAN LEBIH MUATAN


Runtuhan jalan akibat kenderaan lebih muatan


Georgetown - "Kekerapan kenderaan berat lebih muatan menggunakan Jalan Lembah Permai, di sini, dikenal pasti sebagai antara faktor sebahagian struktur jalan itu runtuh semalam," kata anggota exco kerajaan DAP Pulau Pinang.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng mengakui bahawa kegagalan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang menyebabkan banyak kenderaan berat melebihi muatan 11 tan yang ditetapkan menggunakan akses jalan itu.

Beliau berkata undang-undang menetapkan hanya kenderaan di bawah muatan 11 tan sahaja boleh melalui jalan yang agak sempit itu tetapi akibat penguatkuasaan yang lemah, banyak kenderaan lebih muatan menggunakan jalan itu tanpa sebarang tindakan.

"Kami sedang meneliti pelbagai aspek termasuk mengkaji kaedah baharu bagi memastikan tiada lagi kenderaan bermuatan lebih 11 tan menggunakan laluan itu selepas projek membaik pulih jalan itu siap," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Penasihat Kejuruteraan negeri Datuk Dr Gue See Sew di sini semalam.

Beliau berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, penghuni sebuah rumah terpaksa dipindahkan atas faktor keselamatan dan untuk memudahkan kerja-kerja membaiki jalan.

Hock Seng berkata, pihaknya bercadang membuka laluan kontra di lorong bersebelahan runtuhan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, selain menempatkan pegawai untuk memantau lalu lintas di kawasan itu.

Semalam, jalan raya sepanjang kira-kira 15 meter di Jalan Lembah Permai di sini, runtuh akibat mendapan yang terhasil daripada pergerakan air bawah tanah.

Terdahulu, See Sew berkata kerja-kerja membaik pulih struktur jalan raya yang runtuh itu dijangka mengambil masa agak panjang ekoran cuaca yang sering hujan.

"Kebiasaannya, kerja membaik pulih runtuhan jalan dapat disiapkan dalam jangka masa tiga bulan, tetapi faktor hujan tidak menentu akan menyebabkan kelewatan bagi projek ini, mungkin dalam tempoh lima bulan," katanya.


0 comments:

share2