Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 15, 2016

GARIS PANDUAN PENYALAHGUNAAN PHD SEDANG DIRANGKA


Idris Jusoh


Putrajaya - "Kementerian Pendidikan Tinggi sedang bekerjasama dengan Universiti Awam (UA) menyediakan garis panduan berhubung penyalahgunaan gelaran Doktor Falsafah (PhD)," kata Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata garis panduan itu termasuk kemungkinan mentakrifkan perbuatan penyalahgunaan gelaran itu sebagai satu jenayah.

"Sebenarnya isu ini (salah guna gelaran PhD) telah lama berlaku... pihak universiti dan kementerian sedang menggabungkan semua pandangan sebelum satu garis panduan dikeluarkan bagi menangani dan mengendalikan kes seperti itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog bersama Majlis Profesor Negara (MPN) dan penyampaian watikah pelantikan kepada 20 exco baharu MPN untuk tempoh dua tahun, di sini hari ini. Hadir sama Pengerusi MPN Prof Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, Timbalan Pengerusi MPN Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.

Idris berkata penipuan PhD merupakan satu kes umum yang boleh berlaku melibatkan mana-mana universiti dan atas sebab itu pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan bagi mendapat pandangan menyeluruh sebelum garis panduan berkenaan dapat dikeluarkan.

Ditanya sama ada kes seumpama itu satu perlakuan jenayah, beliau berkata: "Kita akan tengok bagaimana cara untuk takrifkan perkara tersebut."

Dalam perkembangan lain, Idris merakamkan penghargaan kepada MPN atas peranannya menyumbang pandangan kepada kerajaan dalam aspek penggubalan dasar ke arah memastikan negara terus membangun dari aspek ekonomi serta sosiobudaya.

Beliau berkata kejayaan MPN menggabungkan dan memobilisasi 2,600 profesor di bawah satu bumbung untuk bekerjasama memainkan peranan sebagai pemikir negara jelas merupakan satu keuntungan buat rakyat kerana perkara itu sukar dilihat berlaku di negara-negara lain, kecuali Malaysia.


0 comments:

share2