Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 27, 2016

[ROMPIN] ‘HORMATI KISAH LAGENDA NAGA'


‘Hormati kisah legenda naga’


Legenda Pulau Tioman yang dikatakan terbentuk daripada seekor naga tidak sepatutnya dipertikaikan kerana mitos itu kisah turun-temurun yang diceritakan penduduk terdahulu.

Biarpun tiada bukti saintifik bagi membuktikannya, kisah itu adalah cerita warisan yang patut dipelihara dan dihormati, bukan tujuan untuk kepercayaan sebaliknya lebih berbentuk hiburan atau kesenian.

Seorang penduduk, Abdul Khalid Mohamad, 60, berkata, kisah legenda adalah suatu yang tidak pasti namun mana-mana pihak tidak boleh mempertikaikannya atau mengatakan ia tahyul.

Menurutnya, kisah itu mungkin sekadar cerita dongeng, bukan menjadi kepercayaan mutlak atau pegangan seperti kisah Hang Tuah yang juga mempunyai pelbagai versi.

“Bila sebut legenda, ia adalah cerita yang diwarisi turun temurun. Jadi, sesiapa pun tak payah dipertikaikan kerana dalam negara memang banyak kisah sebegini yang turut menjadi tarikan bagi tujuan pelancongan.

“Saya sendiri generasi keempat di pulau ini dan apa disampaikan oleh orang-orang tua terdahulu adalah begitu, betul atau tidak kita tidak tahu, jadi terimalah ia sebagai satu kisah masyarakat,” katanya.

Bagi sesetengah pihak, kisah legenda Pulau Tioman yang terbentuk daripada seekor naga turut menjadi cerita turun temurun orang-orang tua di Kuala Rompin yang kadangkala ada logiknya berdasarkan fizikal pulau itu sendiri.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Rompin, Mohammad Razak Daud, berkata, berdasarkan pelbagai sumber mengatakan di bahagian bawah pulau itu wujud rongga.

Menurutnya, jika pergi ke Kampung Mukut di pulau itu, terdapat dua gunung yang apabila dilihat di beberapa kawasan sebelah darat seperti Pantai Hiburan akan kelihatan seperti balung naga.

“Selain cerita-cerita mengenai kejadian pulau itu, terdapat juga cerita yang mungkin berunsur mistik seperti pada zaman dahulu tidak boleh membawa cuka ke Pulau Tioman, jika dibawa juga ia akan bergegar. Namun, ini semua cerita turun temurun orang-orang tua yang tiada kesahihannya yang pada zaman sekarang terus jadi kisah legenda,” katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Razak turut menegaskan pulau yang terletak 40 batu nautika dari Kuala Rompin itu memang menyerupai naga seperti dalam bentuk yang sempurna dari kepala hingga ke ekornya.

Namun, pemandangan unik itu hanya dapat dilihat pada waktu tertentu bergantung pada keadaan cuaca kerana ia tidak dapat dilihat dengan jelas sekiranya banyak awan atau mendung.

“Pada saya siapa yang dapat melihatnya memang cukup bertuah kerana ia bergantung pada cuaca. Jika cuaca baik Insya-ALLAH akan nampak jelas,” katanya.


0 comments:

share2