Ipoh – Semua murid yang terlibat dalam kem perkhemahan membabitkan penggunaan ular sawa sepertimana viral di media sosial baru-baru ini, diberikan sesi kaunseling bagi memulihkan rasa trauma dan ketakutan.
Exco Perak, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, sekumpulan kaunselor dari Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah dibawa ke sekolah bagi membantu memulihkan kembali semangat mereka.
Menurutnya, akibat penggunaan ular ketika menjalani sesi latihan jati diri itu, ada antara peserta mengalami ketakutan melampau.
“Alhamdulillah, sebaik sesi kaunseling selesai, kesemua mereka nampak ceria dan menyatakan bersedia untuk melupakan apa yang terjadi kerana ingin fokus kepada pembelajaran,” katanya ketika turun padang bertemu murid dan pengurusan sekolah, pagi semalam.
Kem perkhemahan yang berlangsung pada 14 hingga 16 Oktober itu melibatkan 45 murid tahun 4, 5 dan 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Beluru, Kuala Kangsar.
Semua latihan dan ujian dalam siri perkhemahan itu dilaporkan dikendalikan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pejabat APM cawangan Kuala Kangsar.
Muhammad Amin berkata, berdasarkan siasatan, pengurusan sekolah didapati mematuhi setiap garis panduan aktiviti luar bilik darjah yang telah ditetapkan.
Ia termasuklah membantah penggunaan reptilia dalam kolam air berlumpur yang diharungi murid ketika sesi latihan terbabit.
“Kejadian ini dimaklumkan berlaku secara spontan dan bukan termasuk dalam SOP (Prosedur Standard Operasi) APM.
“Apa pun APM sendiri telah mengambil tindakan terhadap jurulatihnya dan kita ucapkan terima kasih kepada jabatan pendidikan dan pengurusan sekolah yang segera bertindak terhadap murid terlibat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment