Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 24, 2016

[JERANTUT] RIBUT: KEDAI SEMENTARA MUSNAH


Ribut: Kedai sementara musnah


Seorang peniaga dan pembekal peralatan telekomunikasi berdepan kerugian sekitar RM50,000 apabila kedai sementara miliknya musnah dilanda ribut sekitar jam 10 malam, Jumaat lalu.

Peniaga terbabit, Nur Badiq Ussamar Othman, 33, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat makluman daripada penduduk dan melihat kedainya sudah roboh sepenuhnya.

Menurutnya, dia bersama anak saudaranya cuba menyelamatkan apa yang termampu, namun kejadian itu mengakibatkan alatan telekomunikasi seperti beberapa telefon bimbit rosak, serta mesin cetak dan almari kaca musnah.

"Saya memulakan perniagaan ini lebih setahun lalu. Ini adalah pengalaman pertama berdepan kejadian ribut sejak berniaga di sini," katanya.

Turut terjejas adalah sebuah kedai sementara menjual surat khabar dan majalah milik seorang warga emas, Norehan Abdullah, 70, yang menyedari kedai itu musnah ketika hendak membuka kedai sekitar jam 8 pagi, sehari selepas kejadian.

Berbeza dengan Nur Badiq Ussamar, Norehan memaklumkan, ini merupakan kali ketiga dia berdepan kejadian kedai dilanda ribut dan kejadian kali ini merupakan paling teruk pernah dialaminya.

"Dalam kejadian pertama dan kedua hanya atap kedai diterbangkan angin, namun kali ini keseluruhan kedai musnah. Majalah dan peralatan kedai juga habis rosak.

"Saya terpaksa jual akhbar dan majalah di kaki lima sementara menunggu pihak berwajib ganti dan baik pulih kedai ini. Kerugian akibat majalah rosak sahaja mencecah RM1,000," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Jerantut Feri, Md Isa Mohd Nor memaklumkan, keadaan ribut yang melanda kawasan kampung berkenaan luar biasa dan menyebabkan kemusnahan lebih dahsyat berbanding sebelum ini.

Md Isa yang juga salah seorang daripada 13 peniaga di kedai sementara di sini berkata, dia adalah antara orang pertama melihat atap kedai milik Nur Baddiq Ussamar dan Norehan diterbangkan angin.

"Ketika ribut melanda saya sudah tak sedap hati, terutama ketika melihat kedai saya juga mula bergoyang ditiup angin. Namun saya bersyukur kerana kedai saya tak terjejas kali ini.

"Kedai sementara ini dibina bagi menggantikan kedai sebelum ini yang akan digantikan dengan deretan 14 kedai baharu yang telah siap dibina. Permohonan kedai baharu telah diagihkan dan dihantar kepada pihak atasan," katanya.

Katanya, peniaga kini sedang menunggu proses cabut undi dan penyerahan lot kedai baharu serta berharap urusan penyerahan kedai terbabit dapat dilakukan segera memandangkan musim tengkujuh bakal tiba dan keadaan cuaca tidak menentu.

"Kami bimbang jika kejadian ini berulang pada masa akan datang dan mengakibatkan peniaga-peniaga terpaksa menanggung kerugian tinggi.


0 comments:

share2