Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 23, 2016

[JERANTUT] NYAWA PENDUDUK DALAM BAHAYA


Nyawa penduduk dalam bahaya


Masalah gajah liar pernah menghantui penduduk Kampung Paya Garok di Jerantut apabila haiwan itu muncul dan berkeliaran di kawasan hanya 30 hingga 100 meter sahaja dari rumah mereka.

Kemunculan gajah di kampung itu pernah disiarkan Sinar Harian apabila lima keluarga melahirkan kebimbangan setelah kawasan rumah mereka diceroboh sekumpulan gajah liar pada malam Hari Raya Aidilfitri.

Kunjungan tetamu tidak diundang bermula seminggu selepas raya itu bukan sahaja menakutkan penduduk, malah tanaman kelapa sawit yang diusahakan turut musnah.

Kebimbangan penduduk kampung ketika itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris.

Ahmad Nazlan menggesa supaya pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah gajah liar terbabit.

Katanya, masalah itu tidak hanya dilalui lima keluarga berkenaan sahaja, malah 250 penduduk kampung dengan kira-kira 45 rumah keseluruhannya turut merasa terancam dengan gangguan gajah liar terbabit.

“Jangan tunggu sehingga ada nyawa yang terancam. Bantulah segera mungkin. Saya tahu kos tinggi, namun nyawa penduduk jauh lebih berharga,” katanya ketika itu.

Gangguan gajah terbabit tidak hanya terhenti setakat itu malah turut berlarutan sehingga turut mengganggu kawasan perkampungan Orang Asli Kampung Machang. 

Penduduk mendakwa sebanyak 13 ekor gajah liar menceroboh dan memusnahkan ladang kelapa sawit seluas 80 hektar milik penduduk Kampung Paya Garuk dan 20 hektar getah yang diusahakan oleh penduduk Orang Asli Kampung Machang.

Penduduk Kampung Paya Garok, Mohd Tarmizi Shamsudin, 47, berkata, akibat kejadian itu penduduk di situ mengalami kerugian apabila 90 batang pokok sawit yang sudah mengeluarkan hasil dimusnahkan kumpulan gajah liar berkenaan.

“Jarak kebun kelapa sawit yang diceroboh hanya 100 meter dengan kediaman penduduk, jadi ketika itu kami amat risau haiwan berkenaan akan mengancam nyawa. Mujurlah setakat ini belum ada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Menceritakan pengalaman yang pernah dilaluinya, dia pada awalnya menyangka kumpulan gajah liar terbabit hanya ‘singgah’ seketika sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya.

Namun katanya, sejak sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri, kedatangan kumpulan gajah liar ke ladang berhampiran rumah mereka itu semakin kerap.

“Boleh dikatakan selang satu malam mereka (kumpulan gajah liar) akan berkeliaran di kawasan ladang ini.

“Malah kami turut mendengar mereka membuat bising seperti memanggil kumpulan yang lain. Bunyi bising itu buat kami tidak dapat tidur lena.

“Kalau nak kira rugi tu tak payah cakaplah. Dah banyak anak pokok yang belum mendatangkan hasil dimusnahkan. Tapi yang lebih bimbang ialah keselamatan nyawa keluarga kami. Tak mustahil haiwan itu akan muncul lagi dan menjadikan tanaman di kawasan rumah penduduk pula sebagai sasaran,” katanya.

Adik ipar Mohd Tarmizi, Mohd Radzuan Salehudin, 37, pula berkata, ketika pencerobohan gajah sebelum ini, dia bekerja malam dan bimbang untuk meninggalkan keluarga.

“Kami bimbang keselamatan keluarga kerana pada ketika itu kumpulan gajah ini biasanya akan masuk sekitar selepas Maghrib sehingga tengah malam.

“Bila terdengar bunyi gajah, kami akan berkumpul di kawasan depan rumah jauh dari jarak gajah liar itu datang,” katanya.

Katanya, pada masa itu mereka cuba menghalau gajah dengan membaling mercun dan membakar tayar.

Kebimbangan sama turut dilalui Mat Rashid Mat Dahari, 65, dan isteri, Rohani Daud apabila sekumpulan gajah liar memasuki kawasan pondok dusunnya, Ogos lalu.

Menurut mereka, pada mulanya bunyi yang kedengaran pada waktu malam disangka babi berkeliaran namun akhirnya menyedari kawasan pondok mereka dimasuki kumpulan gajah liar.

Belum pun berakhir trauma dengan kejadian itu, pasangan suami isteri ini kembali ketakutan apabila kumpulan gajah itu muncul sekali lagi pada penghujung Ogos lalu.

Jika kejadian pertama, kumpulan gajah terbabit sekadar lalu namun dalam kejadian terbaharu, 0.2 hektar tanaman ubi kayunya , 10 batang pokok nangka madu dan empat batang pokok cempedak dirosakkan.

Turut rosak katanya, serumpun pokok buluh lemang yang dijaga elok selain beberapa batas pokok kayu keledek yang belum sempat dituai.

Nasib sama pernah dilalui seorang pemilik ladang kelapa sawit, Ahmad Mohamad, 49, apabila kerugian sekitar RM10,000 apabila lebih 100 batang kelapa sawitnya rosak dimusnahkan hidupan liar terbabit sebelum ini.

“Pokok itu berusia enam tahun dan saya baru sahaja menuai hasil sekali sebelum dimusnahkan gajah terbabit.

“Akibat kejadian, saya buntu kerana terpaksa tanam balik dengan kos yang agak tinggi,” katanya.


0 comments:

share2