Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 11, 2016

BOLEH UNDANG KECELARUAN MENTAL


Boleh undang kecelaruan mental


Kota Bharu - Gangguan kesihatan mental yang tidak dirawat boleh mengundang kecelaruan (mental) lebih teruk sedangkan penyakit berkenaan boleh disembuhkan jika pesakit mendapatkan rawatan lebih awal.

Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Asrenee Ab Razak berkata, masalah kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang dan peringkat usia.

“Ramai tidak sedar simptom gangguan kesihatan mental dan beranggapan ia hanyalah masalah kesihatan fizikal yang kebiasaannya melibatkan melibatkan gangguan tingkah laku, pening, sukar tidur, tiada selera makan dan tidak minat bercakap.

“Sebenarnya gejala seperti ini perlu segera ditangani dan tidak dibiarkan berlarutan kerana mempunyai perkaitan dengan gangguan kesihatan mental sekalipun ia bukanlah gejala penyakit mental,” katanya kepada media selepas perasmian pusat sehenti kesihatan mental Mentari@USM di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Prof Dr Adam Hussein yang mewakili Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Kanan Klinikal, HUSM, Dr Nik Min Ahmad.

Mengulas lanjut, Dr Asrenee berkata, penubuhan Mentari@USM sejak Januari lalu antara lainnya bertujuan mempromosikan kesihatan mental dan menyediakan ujian saringan terhadap penyakit mental sekali gus memberi rawatan awal dalam suasana lebih santai berbanding di klinik psikiatri.

“Di sini kita cuba mengurangkan stigma dan memberi kesedaran bahawa gangguan kesihatan mental bukan penyakit mental (gila).

“Kebiasaannya, pesakit mental mereka akan diistilahkan sebagai berbahaya, gila dan boleh bertindak di luar batasan, sedangkan mereka yang berdepan gangguan kesihatan mental ini boleh disembuhkan dan mampu berfungsi seperti sedia kala jika mendapat rawatan awal,” katanya.

Mengulas mengenai tahap kesedaran masyarakat terhadap penyakit berkenaan, Dr Asrenee berkata, ia semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Menurutnya, peranan keluarga penting bagi memudahkan proses pemulihan pesakit dan sebagai kumpulan yang lebih dekat dengan mereka (pesakit), keluarga sepatutnya lebih positif dan tidak terlalu mengongkong.

Sementara itu, Ketua Unit Mentari, Dr Nor Asyikin Fadzil berkata, di unit berkenaan, pesakit bukan sahaja dirawat menggunakan ubat-ubatan sebaliknya ada yang hanya memerlukan latihan kemahiran hidup agar mereka boleh bertindak seperti orang normal apabila berada dalam masyarakat.

“Penyakit mental ini boleh dirawat dan bagi orang awam kesedaran tentang penyakit ini penting agar mereka boleh membantu orang-orang terdekat mengurangkan gejala di peringkat awal melalui kemahiran dan pendedahan diberikan,” katanya.

Menurutnya, sejak ditubuhkan awal tahun ini, kira-kira 200 orang pesakit sudah dan sedang menjalani rawatan malah ada di antara mereka di peringkat penempatan.


0 comments:

share2